SIBU: Pintu terkunci dari dalam menyukarkan anggota bomba melakukan pergerakan ofensif, memadamkan kebakaran membabitkan sebuah kilang kayu dan stor mercun di Jalan Ting Lik Kong, lewat malam tadi.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii berkata, kebakaran yang pada asalnya dilaporkan melibatkan kilang kayu dan stor simpanan tong gas, rupanya digunakan untuk simpanan mercun.

“Kita telah menerima panggilan kecemasan sekitar jam 10.32 malam dan segera mengatur gerak dua jentera bomba, dua ambulans EMRS dan sebuah lori tangki air dari Balai Bomba Sibu dan Sungai Merah, dengan kekuatan 16 anggota.

“Ketika pasukan tiba, kilang kayu tersebut telah terbakar lebih 60 peratus, dan api sedang marak ke stor bersebelahan akibat tiupan angin.

Katanya, sehingga jam 12.20 tengah malam, api di stor simpanan mercun telah berjaya dikawal, namun api di kawasan kilang kayu masih marak.

Usaha pemadaman kini masih berlangsung, dan pasukan bomba masih cuba memasuki stor. –Sarawakvoice