Saturday, October 8, 2022

Pilihan Raya Negeri Sarawak 2021: Ada apa dengan GPS?

Secara Rawak

Politik di Sarawak makin hari makin hangat dengan kehadiran pelbagai parti politik yang baharu mewarnai politik Sarawak.

Tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang tinggal lebih dua tahun setengah lagi mengikut mandat yang diperoleh pasti akan menampilkan lebih banyak lagi parti politik yang akan wujud.

Fenomena ini dari sudut demokrasi amat baik untuk demokrasi dalam sesebuah negara atau negeri.

Meninjau politik Sarawak pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas, apa yang berlaku di Sarawak amat menarik.

Apabila Barisan Nasional (BN) Sarawak keluar daripada gabungan BN dan membentuk Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputra Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) telah merubah senario politik di Sarawak.

Malahan dalam beberapa bulan kebelakangan ini, ada beberapa parti politik yang baharu muncul dalam arena politik Sarawak dengan impian untuk bertakhta di hati lebih 2.6 juta rakyat bumi kenyalang. Namun demikian, kebanyakan parti politik ini atau gabungan parti ini belum lagi diketahui sama ada kewujudannya telah diterima dan disahkan oleh Jabatan Daftar Pertubuhan (ROS).

GPS sebagai empat gabungan parti politik masih lagi belum diterima pendaftarannya. Apakah masalah yang dihadapi sehingga menghadapi kesukaran untuk pihak ROS meluluskan pendaftaran parti-parti politik ini termasuk GPS?

Adakah dalam era kerajaan baharu ini, kebebasan untuk menubuhkan persatuan dihadkan?
Persoalan sebegini perlu diperjelaskan oleh ROS atau pihak kerajaan. Seperti GPS, ramai penyokong mereka masih menunggu pelancaran parti yang sah agar semua kerja di akar umbi dapat dijalankan dengan lancar.

Perjuangan GPS yang mengetengahkan isu kenegerian dilihat sedikit sebanyak sebagai senjata untuk memastikan rakyat Sarawak mendukung perjuangan parti tersebut.
Isu-isu berkenaan dengan janji dalam manifesto PRU 14 Pakatan Harapan (PH) dituntut oleh kerajaan negeri Sarawak yang diterajui oleh GPS.

Antara isu yang selalu dikemukakan oleh GPS ialah berkaitan dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), royalti minyak sebanyak 20%, penurunan autonomi kepada negeri Sarawak dan sebagainya.

Apa yang pasti, GPS kini giat bergerak di akar umbi untuk menjelaskan perjuangan mereka kepada rakyat Sarawak terutama yang berada di luar bandar.

Malahan, usaha yang gigih untuk memastikan kawasan luar bandar tidak jauh ketinggalan daripada arus pembangunan juga merupakan matlamat utama GPS sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke -12 nanti.

Banyak peruntukkan telah diumumkan oleh kerajaan negeri Sarawak pimpinan GPS untuk memastikan kerancakan pembangunan di luar bandar.

Ironinya, usaha murni kerajaan negeri telah mendapat perhatian daripada rakyat di kawasan luar bandar yang selama ini dahagakan pembangunan seperti jalan raya, bekalan elektrik, bekalan air bersih dan sebagainya.

Momentum memperkasakan pembangunan di luar bandar secara drastik dengan pengumuman peruntukkan yang banyak dilihat menjadi keutamaan GPS selain memperjuangkan isu kenegerian.

Usaha GPS ini dilihat dapat memastikan rakyat yang tinggal di kawasan luar bandar tidak ketinggalan dalam arus pembangunan. Persoalannya, adakah dengan usaha yang sebegini,
GPS akan dapat terus kekal memerintah bumi kenyalang yang bertuah ini selepas PRN ke – 12 nanti?

Adakah dengan kelewatan yang macam disengajakan untuk mendaftar GPS sebagai gabungan yang sah mampu untuk mereka (GPS) memperkenalkan logo parti dalam masa yang kian makin singkat?

Apa yang pasti, situasi kini harus digunakan oleh GPS sebaik-baiknya bagi memastikan mereka terus dapat memerintah bumi kenyalang ini. –Sarawakvoice

Penulis merupakan penganalisis politik yang fokus kepada politik kaum Iban di luar bandar serta pensyarah dalam bidang politik di UNIMAS.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru