Monday, August 15, 2022

Tidak boleh merokok di premis makanan di Kuching mulai Januari depan

Secara Rawak

KUCHING: Semua premis makanan di Kuching Utara akan menjadi Zon Bebas Asap Rokok bermula Januari depan, dengan perokok hanya boleh merokok di ruang khas.

Datuk Bandar Kuching Utara, Datuk Abang Wahap Abang Julai berkata, tindakan tegas akan diambil sekiranya arahan itu diingkari mana-mana pihak.

“Semua premis makanan akan dilekatkan dengan notis Zon Bebas Asap Rokok di bawah peraturan ini.

“Justeru, kita meminta pengusaha-pengusaha premis makanan untuk mempamerkan notis ini.

Ruangan khas katanya, perlu disediakan pemilik premis makanan agar ia tidak mengganggu pelanggan lain.

“Tindakan hanya dikenakan ke atas mereka yang merokok di kawasan zon bebas asap rokok,” tegasnya ketika ditemui semasa menghadiri perjumpaan bersama-sama pengusaha premis makanan di sini, hari ini.

Katanya, denda sebanyak RM200 akan dikenakan sekiranya mereka merokok di kawasan larangan atau Zon Bebas Asap Rokok seperti di kawasan sekolah, lapangan terbang atau hospital.

Pada masa yang sama katanya, beberapa pegawai penguat kuasa telah diturunkan kuasa untuk menangkap mereka yang merokok di kawasan larangan ini.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan bahawa DBKU telah mengarahkan pengusaha premis makanan untuk mematuhi arahan supaya tidak meletakkan gerai di kaki lima selaras dengan keperluan By-law 26(2)(a) The Local Authorities (Cleanliness) By-laws, 1999 yang telah berkuat kuasa pada 1 Januari lepas.

Program ini bertujuan untuk memupuk kesedaran mengenai kebersihan premis serta keselamatan makanan selain menyampaikan informasi terkini berkaitan dengan kehendak pelesenan.

Ia juga kaedah merapatkan hubungan DBKU dengan penjaja dan pengusaha perniagaan bagi membincangkan isu-isu semasa berkaitan.

Setakat ini, DBKU telah melesenkan sebanyak 347 premis makanan (103 Gred A dan 244 Gred B), 348 penjaja dan gerai serta 144 pasar raya. — Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru