Saturday, October 8, 2022

160 pendaki redah Gunung Singai dari empat arah, untuk mencari Stanley namun usaha buntu, ke mana ghaibnya?

Secara Rawak

BAU: Gerakan besar-besaran mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan hari ini di di semua empat arah di kawasan rekreasi Gunung Singai di sini susulan kehilangan seorang pendaki yang memasuki hari keempat.

Mangsa, Stanley Kho, 22 tahun dari Sri Aman, dilaporkan ‘ghaib’ pada jam 4.35 petang Isnin lalu setelah mendaki gunung tersebut seorang diri.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii yang ditemui di lokasi memberitahu, pihaknya masih gagal menemukan sebarang petunjuk yang boleh merungkaikan misteri kehilangan mangsa.

Mangsa katanya, kali terakhir menghantar gambarnya dalam aplikasi ‘we chat’ dalam keadaan tangan dan kakinya tercalar, namun usaha mencari di kawasan Tanjong Poting, kawasan talian itu dikesan, juga menemui jalan buntu.

“Sehingga jam 3 petang semalam, sejumlah 160 anggota SAR termasuk puluhan pendaki sukarela dan penduduk kampung terlibat dalam pencarian, termasuk tidak menggunakan laluan yang disediakan.

“Setiap jam ada sahaja pasukan yang melakukan pendakian ke puncak, dengan harapan menemui mangsa.

“Namun setakat ini tiada lagi maklumat yang kita terima, bahawa operasi ini telah menjumpai mangsa.

Belum ada.

Katanya, dengan perkembangan tersebut, operasi akan berterusan hingga mangsa ditemui.

Selain bomba, turut berada di lokasi untuk melaksanakan SAR ialah Angkatan Pertahanan Awam, Pasukan Gerakan Am, polis, dan Angkatan Tentera Malaysia.

Malah tinjauan sarawakvoice.com turut mendapati keluarga mangsa telah mengadakan upacara ritual, selain kaedah alternatif menggunakan dukun.

Sekitar jam 4 petang, kawasan pencarian juga disimbahi hujan, yang menyukar dan membahayakan aktiviti SAR.

Sebelumnya ada pendaki yang tercium bau busuk, dan memaklumkan kepada pusat operasi, namun setelah disiasat, bau itu datang dari sekuntum bunga gergasi.

Dalam kejadian Isnin lalu, Stanley memulakan pendakian seorang diri pada jam 8.00 pagi, setelah berpecah dari kumpulan rakannya seramai 3 orang.

Mangsa masih dapat dihubungi melalui aplikasi we chat pada jam 10 pagi hari berkenaan sebelum komunikasi terputus.

Sekitar jam 4 petang, mangsa gagal dihubungi rakan-rakannya, menyebabkan laporan polis dibuat oleh rakan-rakannya.

Gunung Singai merupakan lokasi riadah terkenal di Bau dan ini merupakan pendakian pertama Stanley di situ.

Lazimnya pendakian ke puncak mengambil masa sejam setengah.

Berdasarkan maklumat keluarga pula, mangsa tidak menghidap sebarang penyakit berbahaya, termasuk jantung dan sebagainya.

Sehingga jam 7 malam ini, ketika operasi dihentikan, Stanley masih gagal ditemui. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru