Monday, December 5, 2022

Kisah murid sekolah Cina tangisi perpisahan dengan guru Melayu mereka

Secara Rawak

VIDEO sepanjang 3.5 minit menggambarkan murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Nyuk Hwa Semporna, Sabah menangis mengerumuni cikgu kaunseling Nurshawati Abd. Wahab, 26, tular di media sosial.

Memetik Utusan Online, murid sekolah tersebut memujuk cikgu Nurshawati agar tidak berpindah.

Dalam kenyataan Nurshawati kepada portal berkenaan, beliau tidak menyangka dirinya menjadi perhatian dan disayangi muridnya dan tidak mengetahui punca sebenar dirinya terlalu disayangi murid.

Melalui gambaran daripada video berkenaan, dapat dikatakan betapa isu bangsa dan agama sebenarnya tidak “mengambil tempat” dalam kalangan rakyat di negara ini yang mempunyai kepelbagaian warna kulit dan anutan.

Lebih-lebih lagi melibatkan jiwa anak-anak generasi baru khususnya dalam kalangan anak kecil yang “bersih” dan “putih”, mereka “buta” warna kulit, dan tidak nampak perbezaan kepercayaan sebagaimana ia menjadi “tabu” dalam pandangan kebanyakan orang dewasa.

Inilah yang menjadikan pelajar dari pelbagai kaum tersebut menangis sambil memeluk Cikgu Nurshawati sambil merayu agar beliau tidak berpindah ke sekolah lain.

Keikhlasan Nurshawati mendidik anak bangsa Malaysia ini menjadi ukuran kepada “ikatan” kasih sayang murid-murid ini tanpa rasa berbelah bahagi.

Semua guru harus menjadi pendidik bukan sekadar untuk mengajar, sebaliknya bersikap sebagai “lilin membakar diri” dan celik matlamat mereka mengajar dan mendidik.

Guru perlu menjiwai profesion perguruan untuk menjadi pembimbing, pencetus semangat, pembakar cita-cita anak muridnya dengan bersikap “buta warna kulit” dan “buta anutan berbeza” demi melahirkan sumber insan negara Malaysia baharu ini.

Apabila guru bukan sekadar menjadi pengajar atau pendidik, tetapi mencapai kefahaman sebagai “murabbi” dengan mendidik akal dan hati anak muridnya, maka kita akan berjaya melahirkan sumber insan yang berkualiti.

Di luar kisah ini, pada pengalaman yang lepas pelajar Melayu juga ramai yang hormat dan sayang akan guru berbangsa Cina yang mengajar Matematik atau guru India yang mengajar Bahasa Inggeris atau Sains — yang sesungguhnya mengajar penuh keikhlasan, menuang ilmu yang ada pada mereka “tanpa nampak warna kulit” anak pelajarnya.

Satu sahaja keinginan mereka, mahu melihat pelajar mereka pandai dan berjaya serta menjadi “orang atau “manusia”.

Nurshawati menurut portal tersebut dilaporkan berkata, memang murid-murid berkenaan agak rapat dengan beliau sebagai tempat meluahkan masalah selaku beliau sebagai guru kaunseling mereka.

Apabila Nurshawati memujuk murid-muridnya dengan berkata, dia sayang kepada mereka semua — maka ia menjadi jawapan mengapa murid-murid tersebut tidak berganjak masuk kelas, sebaliknya terus memeluk dan memujuk beliau agar membatalkan hasrat berpindah ke sekolah lain.

Nurshawati bertugas sejak 2016 di sekolah tersebut dan menjadi guru Bimbingan Kaunseling separuh masa, selain mengajar Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu, Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Seni Visual.

Kini, Nurshawati berpindah ke Sekolah Kebangsaan (SK) Bubul 2, Semporna dalam daerah yang sama, sebagai guru kaunseling sepenuh masa.

“Walau saya dah pindah, saya harap mereka tak lupa apa yang telah saya ajar dan semoga hubungan rapat yang terbina ini tidak akan terputus di sini sahaja hanya kerana saya pindah,” ujar Nurshawati memetik Utusan Online. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru