Monday, August 15, 2022

Ketetapan 2/3 di Parlimen untuk laksana MA63 tidak perlu — Hadzland

Secara Rawak

KUCHING: Adalah “tidak perlu” untuk mengambil ketetapan majoriti dua pertiga di Parlimen untuk melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Sebaliknya, pendekatan yang perlu diusahakan ialah “perbincangan meja bulat”, dengan penyertaan ketiga-tiga pihak iaitu Sarawak, Sabah dan Kerajaan Persekutuan bagi merungkai permasalahan.

“Ini sekali gus mengembalikan hak Sarawak dan Sabah seperti yang terkandung dalam MA63,” kata Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dr Hazland Abang Hipni.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Demak Laut
mengulas kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam ucapannya sempena Hari Malaysia yang diadakan di Kota Kinabalu, Sabah, Ahad lepas.

Tegasnya, mengembalikan hak Sarawak seperti yang termaktub dalam MA63 merupakan amanah.

“Ini yang dibawa bekas Ketua Menteri, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem, yang kini diteruskan Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Perjanjian Malaysia katanya, adalah perjanjian antarabangsa yang berdaftar dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 21 September 1970, dengan nombor pendaftaran 10760.

“Atas sebab itu, Parlimen Malaysia tidak mempunyai kuasa untuk meminda MA63 disebabkan ia merupakan perjanjian atau triti antarabangsa.

“Sebaliknya, Parlimen Malaysia hanya boleh meluluskan undang-undang baharu sahaja.

Beliau mengingatkan Pakatan Harapan (PH) bahawa sebelum PRU14, parti itu telah berjanji dalam salah satu manifesto 100 Hari pemerintahannya jika dapat mengambil alih Putrajaya, mereka akan menubuhkan pasukan bertindak untuk mengkaji memulangkan autonomi yang dijanjikan kepada Sabah dan Sarawak seperti yang tertakluk dalam MA63.

“Justeru, dalam perkara ini, Sarawak dan Sabah perlu diiktiraf sebagai rakan kongsi dalam menerima pembangunan yang sama sebagai sebuah rantau dan bukan negara.

“Dalam memastikan janji ini dapat ditunaikan, Kerajaan PH memerlukan semangat juang politik yang kuat, dengan memerlukan sokongan daripada Kerajaan Negeri Sarawak dan Sabah yang selama ini telah berjuang untuk ke arah mendapatkan hak negeri masing-masing mengikut MA63.

Untuk itu, katanya Kerajaan PH perlu mendengar dan membawa bersama kedua-dua kerajaan negeri di Kepulauan Borneo ini untuk duduk berbincang mengenai kandungan MA63.

Berhubung dengan royalti minyak, Hadzland berkata, permintaan Sarawak dan Sabah yang mahukan royalti itu dinaikkan kepada 20 peratus adalah bertujuan untuk perkongsian pendapatan dalam usaha mempercepatkan perkembangan kedua-dua negeri.

Ini sejajar dengan kemajuan yang dicapai Malaysia ketika ini.

“Kini sudah lebih 55 tahun Sarawak dan Sabah telah dinafikan haknya untuk menerima royalti atau peruntukan daripada hasil minyak untuk pembangunan kedua-dua negeri tersebut.

“Sekiranya dapat dilaksanakan, ini adalah peluang terbaik bagi Kerajaan PH menamatkan ketidaksamaan dalam pengagihan kekayaan yang dihadapi Sarawak dan Sabah.

“Kedua-dua negeri di Borneo ini sangat memerlukan peruntukan yang besar bagi membolehkan kemajuan dapat dibawa ke kawasan luar bandar dan pedalaman yang selama ini dahagakan pembangunan,” katanya.

Dalam pada itu, mengembalikan hak pentadbiran katanya, adalah jalan penyelesaian terbaik bagi menamatkan semua permasalahan dasar pembangunan yang dihadapi rakyat ketika ini.

“Menerusinya, pentadbiran kerajaan di peringkat Persekutuan dan Negeri akan dapat dilaksanakan mengikut keperluan dan tidak akan berlaku pertindihan kuasa sehingga boleh mengakibatkan kecelaruan pentadbiran,” tambahnya lagi. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru