KUALA LUMPUR: Kecewa tidak ada banyak usaha yang meyakinkan untuk proses rejuvenasi parti, bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno yang juga Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed atau Tok Pa mengambil keputusan meletakkan jawatan sebagai ahli, setelah lebih 40 tahun berkhidmat untuk parti itu.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas berasakan hala tuju Umno pada masa ini tidak selari dengan prinsip politik yang menjadi pegangannya.

“Semenjak PRU14 melabuhkan tirai, seperti orang lain juga, saya telah membuat beberapa pemerhatian tentang landskap politik Malaysia, hala tuju Umno dan BN serta masa depan negara.

“Berdasarkan kepada beberapa perkembangan mutakhir ini, saya berpandangan bahawa usaha-usaha ke arah memulihkan defisit kepercayaan dan imej parti semakin sukar.

“Tidak ada tanda-tanda bahawa majoriti rakyat berbilang bangsa dan agama akan kembali meyakini perjuangan parti ini.

Katanya, untuk kekal relevan, Umno selaku peneraju Barisan Nasional tidak boleh bergantung kepada sokongan orang Melayu dan Bumiputera semata-mata.

“Pendirian politik saya ialah Umno harus menjadi sebuah parti yang inklusif, moderat dan berhaluan tengah.

“Umno mesti terus memperjuangkan kepentingan Bumiputera dan Islam, namun tanpa sesekali mengetepikan kepentingan kaum dan agama lain.

“Saya percaya bahawa inilah jalan terbaik dalam kerangka negara Malaysia yang majmuk.

Bagaimanapun katanya, hala tuju yang diambil Umno pada masa ini tidak lagi selari dengan prinsip politik yang menjadi pegangannya.

“Maka atas dasar inilah, setelah bermuhasabah dan memikirkan sedalamnya, saya mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai ahli Umno.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada sahabat-sahabat dari Jeli, Kelantan dan seluruh negara yang banyak membantu sepanjang saya berkhidmat untuk Umno, dari kepimpinan parti sehinggalah akar umbi.

“Insya-Allah saya akan terus menyumbang buah fikiran ke arah membangunkan sebuah negara Malaysia yang terbilang.

Beliau turut mendoakan agar negara ini akan terus aman, makmur dan disegani di peringkat antarabangsa.

“Semoga lembaran baharu Malaysia ini akan mewujudkan budaya politik lebih matang dan inklusif, di samping meletakkan tadbir urus serta integriti sebagai keutamaan.

“Sudah tiba masanya semua pihak tanpa mengira fahaman politik dapat mencari satu titik persamaan demi kepentingan rakyat. Kepada Allah SWT jua kita berserah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Usaha pihak media menghubunginya gagal kerana dipercayai berada di luar negara. –Sarawakvoice