Monday, August 15, 2022

Padang Terbang Bario lebih selesa sejak minggu lalu – MAHB

Secara Rawak

BARIO: Hampir 7,500 penduduk daripada 46 kampung di Daerah Kecil Bario telah menikmati pelbagai manfaat serta kewujudan peluang pekerjaan berikutan siapnya kerja-kerja penaiktarafan yang dijalankan di bangunan terminal padang terbang singkat atau STOLport Bario baru-baru ini.

Perasmian bangunan terminal baharu STOLport Bario tersebut telah disempurnakan oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airports, Raja Azmi Raja Nazuddin pada 13 September lalu.

STOLport Bario telah beroperasi selama 22 tahun sejak tahun 1996.

Antara kemudahan yang dinaik taraf di bangunan terminal STOLport tersebut termasuklah kawasan menunggu yang lebih selesa bagi para penumpang, menyediakan lebih banyak ruang parkir motosikal baharu dan pembaharuan kepada struktur dalam dan luar terminal.

Menurut Raja Azmi, banyak yang telah dicapai dengan adanya STOLport ini terutama kepada rakyat tempatan.

“Selain menghubungkan para penduduk tempatan serta masyarakat luar dengan kawasan pedalaman, STOLport juga membolehkan Malaysia Airports menyumbang semula kepada masyarakat menerusi program tanggungjawab sosial korporat kami atau CSR.

Dengan kekerapan penerbangan ke Bario setelah penaiktarafan ini dijalankan, beliau yakin sektor ekopelancongannya akan berkembang pesat dan pada masa yang sama, taraf ekonomi turut meningkat di samping mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk penduduk Bario.

Penaiktarafan bangunan terminal STOLport Bario ini juga mampu meningkatkan pengendalian pesawat daripada setakat 21 kepada 28 buah pesawat seminggu.

“STOLport Bario adalah di antara STOLport yang mencapai peningkatan sebanyak kira-kira 4.4 peratus berbanding STOLport lain dari segi jumlah penumpang dikendalikan.

“Setakat tahun 2017, STOLport berkenaan telah mengendalikan seramai 25,100 penumpang berbanding 24,080 orang penumpang pada tahun sebelumnya”.

Kesemua 18 STOLport yang dikendalikan Malaysia Airports terletak di kawasan pedalaman serta kawasan-kawasan penempatan yang sukar dicapai melalui jaringan pengangkutan darat.

“Selain tidak mengenakan caj perkhidmatan penumpang atau PSC kepada hampir 165,000 penumpang, kewujudan STOLport di kebanyakan kawasan pedalaman juga dapat menjimatkan waktu perjalanan masuk atau keluar ke kawasan-kawasan tertentu.

“Perkara ini tentunya tidak dapat dicapai sekiranya tiada kerjasama daripada pihak syarikat penerbangan MasWings Sdn Bhd.

Katanya, kini penumpang ke Bario cuma perlu mengambil masa selama 50 minit perjalanan menaiki pesawat dari Miri berbanding perjalanan darat yang memakan masa hampir 12 jam.

Dengan penaiktarafan STOLport Bario ini, peluang-peluang pekerjaan berdasarkan industri dapat diwujudkan kepada penduduk tempatan seperti kontrak memotong rumput, membersih longkang padang terbang, kerja-kerja projek serta pembersihan terminal dianugerahkan kepada syarikat tempatan Bario.

Selain daripada itu, perusahaan kantin dan kios jualan menjual produk industri hiliran tempatan turut diberikan kepada rakyat tempatan.

“Pasukan Relawan Rakyat (RELA) tempatan turut membantu melaksanakan tugas Polis Bantuan Penerbangan atau AVSEC dan anggota Perkhidmatan Bomba dan Menyelamat Lapangan Terbang (AFRS),” tambahnya lagi. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru