BINTANGOR: Satu gerakan mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan awal malam tadi bagi mencari seorang lelaki yang gagal pulang ke rumah, selepas keluar mencari kayu sejak jam 8.00 pagi semalam di Kampung Muara Lebaan di sini.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima maklumat tentang kehilangan mangsa sekitar jam 7.38 malam dan lima anggota Balai Bintangor segera diatur gerak ke lokasi yang diketuai Ketua Balai, Nicholas Belulin.

“Mangsa dikatakan keluar memotong pokok seorang diri dan kebiasaannya, akan pulang sekitar tengah hari.

“Namun sehingga petang semalam, mangsa gagal berbuat demikian dan usaha dilakukan oleh ahli keluarga dan penduduk kampung untuk mencarinya.

Sejurus tiba di lokasi, pasukan SAR bersama-sama penduduk kampung terus membuat pencarian di lokasi mangsa melakukan aktiviti memotong kayu namun dia masih gagal dijumpai.

“Operasi SAR ditangguhkan jam 12.12 tengah malam tadi dan akan disambung pagi ini.

Identiti mangsa kata Ling Hii, dikenal pasti sebagai Mohammad Tapa Napis, 55 tahun. –Sarawakvoice