Monday, August 8, 2022

Kajian MA63 tidak perlu, laksanakan audit segera kerana MA63 telah tertangguh 55 tahun – James Masing

Secara Rawak

KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr James Jemut Masing mempertikai tindakan Kerajaan Pakatan Harapan untuk mengkaji semula Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), seperti yang diumumkan Perdana Menteri< Tun Dr Mahathir Mohamad di Kota Kinabalu malam tadi.

Menurutnya, MA63 merupakan perjanjian yang diperakukan di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, yang bertujuan untuk menubuhkan Persekutuan Malaysia.

“Justeru, biarlah tiga penandatangan terlibat melakukan audit, sama ada terdapat pelanggaran terhadap pemahaman MA63.

“Sekiranya terdapat sebarang pelanggaran maka ketiga-tiga penandatangan akan memutuskan sama ada ia cukup serius untuk membatalkan perjanjian itu,” katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

Kajian seperti yang dicadangkan oleh Tun M jelasnya , hanyalah ‘umpan’ untuk menangguhkan proses pelaksanaan perjanjian itu.

“Sabah dan Sarawak tidak boleh ditipu lagi. Selama 55 tahun ‘ditutup mata’ adalah lebih daripada cukup!

Masing sebagai antara menteri paling senior dalam pentadbiran Abang Johari memberitahu, setiap kajian bermakna akan berlaku kelewatan.

“Ia telah ditangguhkan selama 55 tahun!

“Jadi Sabah dan Sarawak kini boleh memulakan kerja-kerja pengauditan perjanjian tersebut, kerana dua daripada tiga penandatangan bermakna kuorum cukup.

“Putrajaya atau Kuala Lumpur boleh menyertai kemudian,” jelasnya lagi.

Dalam ucapannya di Padang Merdeka sempena sambutan Hari Malaysia malam tadi, Tun M memberitahu Kerajaan Pakatan Harapan komited untuk mengembalikan status rakan sekutu kepada Sabah dan Sarawak, dan ia adalah sebahagian daripada proses yang akan dilaksana setelah kajian Perjanjian Malaysia 1963 disiapkan.

Kajian MA63 katanya, pasti akan menimbulkan keperluan penilaian semula beberapa amalan yang telah terlaksana sebelum ini, dan ia perlu dilakukan dengan semangat setia kawan, saling menghormati dan sikap tolak ansur yang tinggi. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru