PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya tumpaskan sindiket pelacuran antarabangsa yang mengiklankan wanita dari tujuh negara melalui aplikasi WeChat dengan bayaran sehingga RM450 untuk perkhidmatan seks selama 45 minit dalam dua serbuan yang dijalankan Jumaat dan awal pagi semalam di Petaling Jaya dan Subang Jaya, Selangor.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali dalam kenyataannya hari ini berkata, hasil dua serbuan di dua buah hotel yang berasingan itu seramai 26 wanita warga asing, dua lelaki warga Bangladesh dan empat lelaki warga tempatan yang disyaki pekerja sindiket berjaya ditahan.

“Pelacur warga asing yang ditahan merupakan wanita warganegara Mongolia, Uzbekistan, Krgystan, Kazakhstan, China, Vietnam dan Indonesia. Namun gambar wanita-wanita berkenaan yang diiklankan mendakwa mereka sebagai gadis dari Jepun dan Korea. Wang tunai berjumlah RM 10,070 hasil daripada kegiatan pelacuran turut dirampas dalam kedua-dua serbuan,” katanya lagi.

Jelas Mustafar, dalam serbuan pertama pada 14 September di Petaling Jaya pegawai operasi JIM berjaya mengesan pelacur warga asing walaupun mereka ditempatkan di bilik-bilik yang berasingan di tiga aras yang berbeza di hotel yang sama.

“Serbuan pertama berjaya menahan sembilan wanita warga Mongolia, seorang wanita Krgyzstan, seorang wanita Uzbekistan, dua wanita China dan seorang wanita Vietnam. Turut ditahan dua lelaki warga tempatan yang disyaki sebagai penjaga dan pekerja kepada sindiket pelacuran berkenaan,” katanya lagi.

Gambar hiasan

Tambah beliau, selepas serbuan pertama JIM mendapat maklumat sindiket yang sama turut menjalankan aktiviti pelacuran di sebuah lagi hotel bertempat di Subang Jaya.

“Dalam serbuan kedua pada hari berikutnya empat wanita warga Mongolia, tiga wanita China, dua wanita Indonesia, seorang wanita Kazakhstan, seorang wanita Thailand dan seorang wanita warga Vietnam berjaya ditahan.

Turut ditahan dua lelaki warga tempatan yang disyaki penjaga/pekerja sindiket dan seorang lelaki warga Bangladesh yang bekerja sebagai sebagai pembantu kepada wanita warga asing,” kata Mustafar lagi.

Selain itu, tambah beliau, seorang lelaki warga Bangladesh disyaki pekerja kebersihan di hotel turut ditahan kerana gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri yang sah semasa pemeriksaan.

Katanya, antara kesalahan yang dikenalpasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, salah guna pas dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Kesemua tahanan ditempatkan di Depoh Tahanan Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan dan tindakan susulan, jelas Mustafar.–BERNAMA