ADA apa apabila Anggota Parlimen Padang Rengas Datuk Seri Nazri Aziz yang juga Ketua Umno Padang Rengas, memberitahu portal Malaysiakini, beliau serius berkempen menyokong Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson.

Dalam politik Malaysia serba baru banyak hal sudah tidak mustahil atau menjadi isu besar, semenjak Pakatan Harapan (PH) menerajui Putrajaya menyingkirkan BN.

Ketika BN dilihat lemah, Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, bekas timbalan perdana menteri betah mempedulikan Nazri.

Zahid Betah Pedulikan Pendirian Nazri

Zahid berkata, Nazri tidak mewakili Umno dan BN serta tiada tindakan disiplin dikenakan terhadap pendirian beliau yang dilihat sesetengah pihak sebagai bersifat kontorversi.

Bahkan, seperti mengiyakan politik Malaysia baru, Zahid turut berkata “kita meraikan perbezaan pendapat”, sementelahan beliau ketika itu baru sahaja menghadiri Muktamar Tahunan Pas, sesuatu yang “asing” sebelum BN kalah PRU14.

Sesungguhnya Nazri mempunyai alasan tersendiri bahawa tidak guna melawan kehendak rakyat yang kini lebih menyukai PKR dan sudah dibuktikan melalui keputusan tiga pilihan raya di kawasan berkenaan.

Bahkan, menurut strategi dipasang Nazri, dengan menangnya Anwar, ia lebih bertujuan memastikan Umno dapat kembali sebagai kerajaan secepat mungkin.

Bagi Nazri, Umno dan BN perlu bekerjasama dengan PKR sambil membiarkan Anwar menang dan sekiranya ada perlawanan, beliau sedia menyokong Anwar kali ini.

Bahkan, ekstremnya, Nazri tidak melihat peluang penentang Anwar pada PRK itu mampu menang termasuk dari Pas atau Umno/ BN.

PRK Port Dickson diadakan selepas penyandang kerusi parlimen itu Danyal Balagopal Abdullah meletakkan jawatan untuk membuka jalan bagi Anwar kembali ke Parlimen.

Kalau Anwar Tak Jadi PM, Muhriz atau Azmin Akan Rebut Peluang — Shahidan

Kelantangan dan “strategi” Nazri turut disokong bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Shahidan Kassim.

Menurut pertaruhannya, jika Anwar tidak menjadi perdana menteri, anak Mahathir Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz atau Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Azmin Ali atau orang lain daripada PH akan menjadi perdana menteri selepas Mahathir.

Sangat jelas, sebagai orang yang pernah memegang kuasa, bekas menteri pelancongan dan kebudayaan, Nazri yang kini tidak mempunyai kuasa pada peringkat kepimpinan tertinggi Umno, didakwa penganalisis politik bebas sebagai mungkin cuba menggunakan PRK Port Dickson untuk menggagalkan hubungan Umno-Pas.

Menganalisis di FMT, Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata Nazri mungkin tidak bersetuju dengan rancangan Umno bekerjasama dengan PAS selepas PRU14.

Dua parti pembangkang itu secara terbuka saling berkempen dalam PRK Sungai Kandis serta Seri Setia baru-baru ini.

Kamarul dipetik berkata, Nazri mendakwa wujudnya “niat” dalam kalangan Umno untuk bekerjasama dengan PKR.

Nazri Pilih Umno Kerjasama Dengan PKR, Dap Berbanding Pas

Pada pertengahan Jun lepas, seperti dilaporkan The Malaymail, Umno lebih baik bekerjasama dengan PH berbanding Pas.

Menurut Nazri, Umno-BN merupakan parti berbilang kaum dan tidak sesuai hanya berjuang menegakkan agama Islam semata-mata.

“Pada saya, saya akan memilih bekerjasama dengan Dap atau PKR. Saya bukan seorang yang Islamik,” kata Nazri dipetik berkata dan tidak percaya parti berteraskan Islam mempunyai masa depan cerah di Malaysia dan menentang idea seperti itu.

Jadi betulkah dua faktor ini — lebih baik Anwar jadi Perdana Menteri berbanding Muhriz atau Azmin — serta faktor Umno lebih sesuai bekerjasama dengan PKR berbanding Pas — menjadi sebab mengapa Nazri serius mahu berkempen menyokong Anwar pada PRK Port Dickson? –Sarawakvoice