Monday, August 8, 2022

Letakkan ‘amanah dalam kerjaya’ sebagai keutamaan – Nor Hisham Mohamad

Secara Rawak

KUCHING: Selepas tujuh tahun menabur bakti sebagai Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri Sarawak, Nor Hisham Mohamad akan melaporkan diri di tempat baharu pada Selasa depan.

Hisham kini dilantik sebagai Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri Pahang, yang juga kampung halamannya.

Kekosongan jawatan beliau akan diisi oleh Khiruddin Drahman, anak Sarawak yang sebelum ini berkidmat sebagai Pengarah Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur.

Difahamkan proses penstrukturan semula jawatan ini dilakukan untuk mengukuhkan operasi kebombaan di seluruh negara.

Hisham ketika dihubungi, menyatakan rasa syukurnya kerana berjaya melaksanakan tugas di Sarawak dalam suasana yang harmoni dan mendapat sokongan semua pihak.

Katanya, kejayaan yang dicapai oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sarawak kebelakangan ini adalah kerana semangat kekeluargaan dan sifat terbuka semua anggota untuk mencipta kejayaan.

“Kepada mereka saya berharap sentiasa berfikir, berusaha dan bertindak untuk berubah ke arah kebaikan setiap hari.

“Tekadkan bahawa arah tujuan ditentukan oleh diri sendiri. Sikap ini saya lihat semakin luas tersemai di jiwa setiap warga besar bomba Sarawak.

“Jangan dipudarkan,” tegasnya lagi.

Katanya, beliau mahu setiap anak buah berasa bangga untuk menyarung seragam bomba dan mengaku dirinya bomba.

“Saya bukan insan hebat tetapi berusaha untuk buat yang terbaik dan dirahmati dengan ahli pasukan yang hebat. Alhamdulillah.

Katanya lagi, beliau mengingatkan anak-anak buahnya agar meletakkan ‘amanah dalam kerjaya’ sebagai keutamaan.

“Ia barakah rezeki. Jangan selalu fikir apa yang jabatan boleh berikan tetapi fikir apa yang kita patut sumbangkan kepada jabatan dahulu,” pesannya lagi. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru