Monday, August 15, 2022

Bersatu mahu ‘masuk Sarawak’ dengan agenda tidak sihat — Sharif Busrah

Secara Rawak

KUCHING: Berpatah arang berkerat rotan. Itu pendirian bekas penggerak Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Sarawak, Shariff Busrah berpunca daripada agenda tidak sihat parti itu.

“Titik peralihan saya adalah ketika Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri
Muhammad Zahid Md. Arip menyatakan bahawa datuknya, Tun Ghaffar Baba telah diamanahkan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membawa UMNO ke Sabah, dan hari ini, Ahli Majlis Kepimpinan Tertinggi Bersatu, Md Redzuan Yusof diamanah untuk membawa parti itu ke Sarawak.

“Saya melihat ini adalah satu penjajahan bentuk baharu kepada negeri ini,dengan agenda berteraskan ekonomi.

“Mereka bukan mahu Sarawak diperintah anak negeri sendiri, tetapi mahu membina kroni,” jelasnya lagi.

Atas kesedaran itulah katanya, beliau kini mempromosi untuk menolak Bersatu di Sarawak.

“Semalam Tun M ada menyatakan kesediaan parti itu untuk menubuhkan parti tersebut di negeri ini, saya nasihatkan mereka tarik balik hajat itu.

“Ini kerana parti Bersatu tidak diterima di Sarawak. Kukuhkan dahulu penguasaan di Semenanjung.

“Keadaan Bersatu di negeri-negeri di Semenanjung masih bercelaru dan bilangan ahli yang masih lagi rendah,” katanya kepada sarawakvoice.com.

Shariff berkata, pimpinan tertinggi parti itu tidak perlu gopoh dan tamak ingin melebarkan sayap mereka ke Sarawak.

“Rakyat Sarawak lebih menyokong parti tempatan Sarawak berbanding Bersatu.

“Mereka akan menghadapi masalah besar jika meneruskan usaha membawa Bersatu masuk Sarawak.

“Bersatu sepatutnya mengambil langkah lebih bijak “bersahabat” dengan parti politik tempatan Sarawak untuk hayat yang lebih panjang.

Katanya, parti itu perlu menggunakan kaedah perhubungan dengan parti seperti Parti Warisan Sabah, yang dilihat amat tepat dan harmoni.

“Kajian saya mendapati 9/10 rakyat Sarawak lebih memilih parti tempatan berbanding parti-parti Semenanjung.

“Mereka tidak akan dapat menguasai pentadbiran politik Sarawak dan usaha mereka akan sia-sia.

“Rakyat Sarawak tidak nampak penyelesaian masalah yang dibawa parti semenanjung ke Sarawak dan ia tidak ubah seperti “ayam jantan berkokok ekornya berlumuran najis”, tambahnya lagi.

Shariff merupakan antara pendokong kemasukan Bersatu ke Sarawak, sejak Mei lalu, namun mengubah setelah kedatangan Redzuan ke Kuching baru-baru ini. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru