Tuesday, August 16, 2022

Ringgit antara mata wang terbaik: Siapa yang menjadi kerajaan dari Jan-Mei 2018?

Secara Rawak

KUALA LUMPUR:  Muslihat Menteri Kewangan terlalu cetek sehingga menimbulkan tanda tanya adakah Lim Guan Eng juga menganggap rakyat Malaysia ini terlalu mudah diperbodohkan?

Malah, kata Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Shahril Sufian Hamdan, Guan Eng juga mengeluarkan satu kenyataan bersifat muslihat yang cuba menipu rakyat,

Menteri Kewangan mengeluarkan kenyataan sebagai respons kepada tulisan  mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang menyindir Pakatan Harapan (PH) mengenai situasi nilai mata wang negara.

“Lim Guan Eng mendakwa ringgit adalah antara mata wang yang terbaik di dunia. Katanya nilai ringgit Malaysia hanya susut 2.2 peratus sepanjang tahun ini bermula Januari. Persoalannya siapa yang menjadi kerajaan dari Januari hingga Mei 2018?,” kata  Shahril dalam satu kenyataan media, hari ini.

Katanya, kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam tempoh Januari sehingga April 2018 bukan sahaja telah menaikkan nilai ringgit malah rizab antarabangsa sepanjang tempoh tersebut juga telah meningkatkan sebanyak hampir USD6 bilion.

“Namun disebabkan kegagalan PH mengurus kedudukan kewangan negara dengan baik, USD5 bilion telah terpaksa digunakan bagi menampung kelemahan mereka,” katanya.

Jelas beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Kuala Langa, tindakan Guan Eng membuat perbandingan menggunakan nilai ringgit pada awal tahun 2018 bukan sahaja tidak tepat,  malah jelas bertujuan mengaburi mata rakyat agar tidak menampakkan kegagalan kerajaan PH mengemudi kedudukan kewangan negara ke arah yang lebih baik.

“Lim Guan Eng sepatutnya hanya mengambilkira kedudukan nilai ringgit sejak PH mengambil alih tampuk pentadbiran negara iaitu pada paras RM3.95 pada 8 Mei iaitu sehari sebelum kemenangan PH dan bukanlah nilai pada awal Januari iaitu RM4.03,” katanya.

“Jika dikira nilai semenjak kemenangan PH, ringgit Malaysia telah susut sebanyak 4.7 peratus berbanding nilai pada hari ini iaitu RM4.14. Trend penurunan ini juga adalah sangat ketara berbanding sebelum PRU-14 yang mana pada ketika itu nilai ringgit meningkat dari RM4.03 pada Januari kepada RM3.95 sehari sebelum PRU-14,” ujarnya.

“Bagi memastikan nilai ringgit tidak terus merosot, kerajaan PH juga telah terpaksa mencairkan rizab antarabangsa sebanyak lebih USD5 bilion semenjak kemenangan mereka. Ini bermakna, nilai ringgit sudah tentu akan merosot jauh lebih teruk jika keputusan mencairkan rizab antarabangsa ini tidak dibuat,” katanya.

“Penulisan Datuk Seri Najib ada asasnya kerana PH sebelum menjadi kerajaan sering memomokkan rakyat bahawa mereka mampu menaikkan nilai ringgit jika mereka mengalahkan BN dan Datuk Seri Najib, tetapi selepas menjadi kerajaan, perkara sebaliknya pula yang berlaku,” tambahnya.

Jelasnya, nilai ringgit terus jatuh dari sehari ke sehari dan ituu sahaja yang ditanya atau disindir.

“Siapa sangka Lim Guan Eng boleh menjadi tak keruan sehingga menulis kenyataan yang tersimpang jauh dari taraf seorang bergelar Menteri Kewangan?,” tegasnya.

Kata Shahril, Menteri Kewangan seharusnya menerima teguran dan memikirkan bagaimana nilai ringgit mampu diperkukuh.

“Namun melihatkan beberapa keputusan u-turn serta flip-flop kerajaan PH, di samping sikap angkuh Menteri, saya khuatir ringgit Malaysia akan terus berada dalam keadaan menyusut seperti mana jangkaan yang dibuat oleh pakar ekonomi dunia,” tegasnya lagi. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru