YB Dato’ Sri Najib Razak perlu belajar membaca dengan teliti sebelum membuat komentar mengenai dasar kerajaan Pakatan Harapan. Tidak ada dalam rancangan kami untuk “memansuhkan hutang PTPTN” seperti yang beliau tuduh. Itu adalah janji PAS yang kini tidur sekatil dengan UMNO. Bukan Pakatan Harapan.

Sikap “cash is king” yang Najib bawa telah merosakkan orang Melayu. Perdana Menteri YAB Tun Dr Mahathir Mohamad kini sedang mengetuai usaha untuk memperbaiki kerosakan ini, agar orang Melayu boleh kembali berbangga dengan jatidiri anak bangsa dan kebolehan berdikari untuk berjaya.

Najib cuba membohongi fakta yang disebut oleh YAB Tun Mahathir. Hakikatnya, sejak penubuhan PTPTN, seramai 1,003,124 peminjam adalah anak-anak Melayu. Daripada jumlah ini, hanya 288,835 sahaja yang membayar balik dengan konsisten, iaitu 28.8 peratus. 425,292 atau 42 peratus pula tidak membayar mengikut jadual. Manakala 277,994 atau 28 peratus tidak membayar langsung hutang mereka. Maksudnya, 70 peratus peminjam Melayu tidak berdisiplin dalam melunaskan kewajipan membayar hutang mereka.

Berdasarkan fakta, memang tepat kata-kata Tun Mahathir bahawa anak Melayu yang dibentuk dalam zaman Najib semakin ramai yang mengambil sikap “Jika kita hutang, berat bagi kita membayar balik.”

Kita tahu Najib memang suka berhutang untuk membiayai hidup dan aktiviti mewah dia, isteri, anak-anak dan sekutu politik mereka. Tapi ini satu lagi legasi buruk tinggalan Najib kepada negara, iaitu sikap orang Melayu yang tidak membayar hutang. Legasi inilah yang terpaksa diselesaikan oleh kerajaan Tun Mahathir hari ini.

Memang fakta ini memalukan kita. Tetapi seperti yang disebut oleh Tun Mahathir, kita perlu terima hakikat, supaya kita boleh mengorak langkah memperbaiki keadaan.

Akibat sikap sambil lewa terhadap hutang yang diajar oleh Najib dan anak buahnya, maka hutang PTPTN kita melebihi RM36 billion, malahan mencecah RM40 billion kini, iaitu rendah sedikit sahaja daripada skandal mega Najib iaitu 1MDB.

Bagi Najib dan anak buahnya, hutang itu mereka pandang remeh. Sebab itu hutang negara kita amat banyak, dan hutang PTPTN adalah salah satu komponen besar hutang-hutang itu. Mungkin Najib terlupa ajaran agama bahawa hutang boleh menyekat amalan kita di Padang Mahsyar nanti. Najib perlu ulangkaji hal ini.

Di bawah kepimpinan Tun Mahathir, kita sedang berusaha untuk mengurangkan bebanan hutang negara dan mengubah sikap rakyat. Melalui PTPTN dan juga melalui Parti Pribumi Bersatu Malaysia, saya berusaha membantu agenda ini.

Saya sedang usahakan agar melalui PTPTN dan BERSATU, kita boleh mendidik rakyat mengenai kepentingan nilai-nilai murni yang telah digariskan oleh Tun Mahathir, iaitu rajin bekerja kuat, beramanah, dan berperasaan malu. Usaha ini akan mengambil masa kerana Najib telah menyebarkan ajaran yang sesat itu bertahun-tahun lamanya. Tetapi insha Allah kita mulakan dan usahakan sebaik yang termampu, secepat mungkin.

Kenyataan dari Wan Saiful Wan Jan, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Setiausa Bersatu Negeri Perlis