SEBERANG JAYA: Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan bahawa keputusan parti untuk mengosongkan kerusi Port Dickson tidak sepatutnya dipanjangkan lagi dan sebaliknya tumpuan parti sekarang adalah memastikan kemenangan milik Pakatan Harapan (PH).

Beliau, yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi, berkata perkara itu kini sudah menjadi “akademik” dan tidak perlu dibincang panjang lagi.

“Saya rasa tumpuan kita sekarang untuk memastikan kerusi Port Dickson itu kekal di tangan Pakatan Harapan melalui PKR dan saya telah menggesa anggota parti untuk bersatu dan bekerja kuat bagi mengekal kerusi itu,” katanya kepada pemberita selepas sesi perjumpaan dengan anggota dan pemimpin PKR dari Wilayah Utara di sini malam tadi.

Mohamed Azmin berkata demikian selepas ditanyakan pandangannya terhadap keputusan pengosongan kerusi Port Dickson bagi memberi laluan kepada Presiden PKR, yang dipilih, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding, yang didakwa hanya dibuat oleh beberapa individu dalam parti sahaja.

Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah, semalam mengumumkan mengosong kerusi yang disandangnya untuk ditandingi Anwar dalam usaha PH agar beliau boleh masuk dalam Parlimen.

Bagaimanapun bagi mengulas mengenai dakwaan Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin mengenai keputusan Danyal mengosongkan kerusi untuk Anwar hanya dibincang oleh kelompok tertentu, Mohamed Azmin berkata pandangan beberapa pemimpin itu adalah pandangan serius dan harus diberi perhatian.

“Saya percaya perkara ini boleh kita selesai dalam muafakat parti supaya tidak berlaku, terlepas pandang seperti ini pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Mohamed Azmin, yang juga calon Timbalan Presiden, pada pemilihan PKR kali ini, turut menafikan khabar angin bahawa beliau akan keluar PKR dalam tempoh masa terdekat.

“Nama pun khabar angin, macam mana lah saya nak respon dengan khabar angin ini…jangan terpengaruh dengan cerita seperti ini.

“Saya antara pemimpin yang telah bersama-sama dengan rakyat untuk membawa perubahan, tak kan setelah dah menang, dah berubah saya nak tinggal perjuangan ini. Ini satu tohmahan yang tidak berasas,” katanya.

Tambahnya, beliau percaya anggota parti kini sudah cukup matang untuk melihat siapa yang telah diuji dan teruji dalam pemilihan parti kali ini.– BERNAMA