KUCHING: Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) mengambil pendekatan untuk tidak meletakkan harga siling bagi pengangkutan udara di negara ini terutama ketika musim perayaan.

Sebaliknya, syarikat-syarikat penerbangan perlu menambah jumlah penawaran penerbangan dalam tempoh tersebut.

Menterinya, Anthony Loke berkata, kajian mengenai harga siling penerbangan ketika musim perayaan telah dibuat dan mengambil kira semua aspek.

Malah ia turut memberikan indikasi negatif kepada keseimbangan harga secara keseluruhan.

“Kita bukan hendak melihat hanya pada musim perayaan sahaja, kita juga ambil kira pada hari biasa secara purata.

“Jadi itu pendekatan yang telah kita buat, dengan meningkatkan penawaran jumlah penerbangan semasa musim perayaan,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan kunjung hormat kepada Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di pejabatnya di Petra Jaya hari ini.

Loke berkata, pihaknya akan memastikan setiap syarikat penerbangan di negara ini menambah frekuensi penerbangan semasa musim perayaan.

Justeru katanya, kerajaan akan berusaha untuk menggunakan pendekatan berlainan dengan menambah penawaran penerbangan bagi menampung lebihan permintaan.

Dalam pertemuan itu juga, kedua-dua pihak turut membincangkan permintaan Sarawak agar penerbangan terus dari negeri itu ke luar negara ditambah termasuk sektor Jakarta dan Australia.

“Secara prinsipnya saya memang bersetuju bahawa ini akan membantu pembangunan sektor pelancongan di Sarawak kerana dari segi geografi, sepatutnya ada penerbangan terus dari Kuching ke Jakarta tanpa melalui Kuala Lumpur.

“Ini kerana sekarang penerbangan dari Jakarta ke Kuching hari ini perlu melalui Kuala Lumpur dan begitu juga beberapa destinasi di Australia.

Anthony kini dalam rangka lawatan rasminya ke Sarawak, pertama kali selepas dilantik sebagai Menteri Pengangkutan. –Sarawakvoice