SIBU: Kastam Sarawak merekodkan kejayaan terbesar tahun ini apabila menahan dan merampas 45 kontena rokok dan arak bernilai RM17.476 juta, yang cuba dibawa masuk ke daerah ini menggunakan laluan sungai.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Subromaniam Tholasy berkata, hasil maklumat awam dan risikan, Kastam Sarawak telah menyerbu sebuah jeti persendirian di Jalan Salim-Stabau, dekat sini sekitar jam 11.30 pagi pada 5 September lalu.

“Siasatan awal mendapati kontena yang berisi arak dan rokok yang belum lulus kastam ini dibawa masuk dari Ho Chin Minh, Vietnam.

Menurutnya, pemeriksaan terhadap 44 kontena di atas tongkang menemui sebanyak 76,250 karton minuman keras pelbagai jenama bernilai RM2.42 juta, dengan nilai cukai sebanyak RM11.27 juta.

“Manakala satu lagi kontena menyimpan 21,250 karton rokok putih berharga RM340,000 dan jumlah cukai sebanyak RM3.10 juta.

Pasukan serbuan katanya, juga menemui 400 kotak minuman keras jenis wain yang disimpan di dalam gudang tidak jauh dari jeti persendirian tersebut, dengan nilai dan cukai sekitar RM346,946.

\\\Susulan kejayaan itu, Kastam Sarawak telah menahan tujuh warga Indonesia yang juga kru tongkang berkenaan, manakala seorang lelaki tempatan, dicekup di kawasan gudang,” katanya dalam sidang media khas untuk mengumumkan kejayaan tersebut di sini.

Menurutnya, barang-barang seludup ini dipercayai dibawa masuk melalui bandar Ho Chi Minh,Vietnam.

Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 kerana mengimport barang larangan tanpa permit import sah dan Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki barang larangan/barang belum lulus kastam. — Sarawakvoice