LABUAN: Sekolah Antarabangsa Labuan (LIS) mencatatkan sejarah mereka tersendiri selepas memenangi Pertandingan Robotik Terbuka Kebangsaan (NROC) sekaligus mewakili Malaysia ke Kejohanan Olimpiad Robotik Dunia 2018 (WRO) dari 16-18 Nov di Chiang Mai, Thailand.

Pasukan LIS yang terdiri daripada pelajar Tahun 5, Thoriq Zulkarnain, Faris Hakim Mohd Shukri (Tahun 5) dan Humaira Dayana Noor Azlan (Tahun 4) yang bertanding dalam kategori ‘Regular Pro’ Sekolah Rendah berjaya mengalahkan 16 buah sekolah lain dari seluruh negara.

Satu lagi pasukan mereka yang bertanding dalam Kategori Sekolah Menengah Rendah pula menduduki tempat ke-11 daripada 35 buah sekolah dalam pertandingan berlangsung di Sekolah Antarabangsa St Joseph Institution, Petaling Jaya.

Cabaran tahun ini, dengan tema ‘Food Matters’ dianjurkan Kementerian Pendidikan dengan kerjasama Sasbadi Sdn Bhd, bertujuan untuk menggalakkan pendidikan STEM yang merangkumi empat bidang pendidikan iaitu Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik.

“Kita patut berbangga dengan pencapaian pelajar yang mencerminkan kesungguhan para guru atas usaha tanpa mengenal penat dalam melatih pasukan itu berminggu-minggu sebelum pertandingan.

“Para pelajar juga telah bekerja dengan rapat bersama guru-guru mereka dan meletakkan sasaran untuk memenangi hadiah utama pertandingan,” kata LIS dalam satu kenyataan kepada Bernama. — BERNAMA

Foto: Facebook