SIBU: Pernah beberapa kali diamanahkan sebagai Pemangku Yang di-Pertua Negeri Sarawak, selain pernah menjadi Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak dari 1984 hingga 1992, Tan Sri Bujang Mohd Nor, 83 tahun semalam diumumkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Ma’al Hijrah untuk tahun ini.

Anak jati Kampung Sungai Lazim di Kuching yang mencetus tangis pertama pada 8 Ogos 1935 ini juga tokoh penting kepada beberapa badan bukan kerajaan di negeri ini.

Beliau merupakan Presiden Persatuan Tenis Bumiputera Sarawak dari 1988 hingga sekarang; Setiausaha Kehormat Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak, Yang Di-pertua Harakah Islamiah (HIKMAH) dari tahun 1993 hingga 2005 dan masih lagi menjadi salah seorang Ahli Lembaga Masjid-masjid Negeri Sarawak dari 2009 hingga sekarang.

Bapa kepada enam anak ini juga berpengalaman sebagai Pengerusi Universiti Malaysia Sarawak UNIMAS dari 1993 hingga 2010, Ahli Lembaga Pengarah di Permodalan Nasional Berhad (PNB) dari 1998 hingga 2016 dan Ahli Lembaga Pengarah di International Centre for Education in Islamic Finance dari 2006 hingga 2015.

Anugerah Tokoh Maal Hijrah semalam disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah peringkat negeri.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, Menteri Muda Perumahan dan Kesihatan Awam, Dr Annuar Rapa’ee merupakan antara yang turut hadir. –Sarawakvoice

Foto Bernama