KUCHING: Jelitawan Sarawak yang dinobatkan gelaran Miss World Malaysia 2018 pada Sabtu, Larissa Ping akan dilantik sebagai Duta Pelancongan Sarawak, selain Duta Pelancongan Malaysia.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian, Belia dan Sukan Negeri, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, beliau akan melaksanakan tugas itu selepas pertandingan akhir Miss World 2018 di Sanya, China, Disember ini

“Sarawak bertuah, kerana kebetulan pemenang tersebut adalah adalah anak jati negeri ini. Bukan sahaja kita menang tempat pertama, malah tempat ketiga dan anugerah sampingan lain,” katanya ketika dihubungi Sarawakvoice.com.

Kata Abdul Karim, selepas pertandingan tersebut, pihaknya akan berunding untuk membekalkan Larissa dengan lebih lagi maklumat tentang keindahan, data-data dan tempat yang menarik di Sarawak.

“Ini bertujuan apabila beliau keluar dalam program-program beliau sendiri, beliau boleh juga memperkenalkan negeri Sarawak kepada dunia luar.

Jelasnya, beliau juga merancang untuk menjadikan Larissa sebagai penyeri ‘wajah Sarawak’ sempena Tahun Pelancongan Sarawak pada tahun hadapan. –Sarawakvoice