KUCHING: Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chieng Jen mendakwa Kerajaan Pakatan Harapan berjaya menjimatkan wang rakyat sebanyak RM2 bilion untuk urusan pembelian minyak petrol.

Sejak mengambil alih tampuk pentadbiran pada Mei lalu katanya, kerajaan telah mengeluarkan subsidi sebanyak RM1.3 bilion untuk rakyat menggunakan petrol.

“Manakala untuk diesel, kerajaan membayar subsidi RM232 juta pada Mei, RM232 juta pada Jun, RM211 juta pada Julai dan sekitar RM130 juta pada Ogos.

“ Untuk empat bulan terakhir, kerajaan membayar subsidi sebanyak RM777 juta,” katanya pada sidang media semasa mengikuti pemeriksaan dan pemantauan Ops Catut 5.0 kementeriannya bersama-sama Jabatan Kastam Diraja Malaysia sempena pelaksanaan Cukai Jualan Dan Perkhidmatan (SST) peringkat negeri Sarawak semalam.

Katanya, untuk pembelian petrol RON95, rakyat jimat RM1.3 juta manakala diesel, jimat 807 juta ringgit, sehingga Ogos 2018.

Berhubung pemeriksaan tersebut, beliau memberi jaminan harga barangan di seluruh negara selepas pelaksanaan SST masih terkawal. –Sarawakvoice