PUTRAJAYA: Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik akan mengadakan pertemuan Rabu ini bersama kumpulan pelajar yang mengadakan protes berhubung pelantikannya selaku Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Dalam satu kenyataan pada Isnin, Maszlee berkata pertemuan itu akan berlangsung di Kementerian Pendidikan di sini pada pukul 6.30 petang.

Katanya, pertemuan itu diharap dapat membuka ruang kepadanya untuk mendengar sendiri suara kumpulan pelajar sekaligus membuktikan dasar terbuka yang dipraktikkannya dan kerajaan.


“Sekali lagi saya ingin mengulangi dasar terbuka saya dan juga kerajaan, dan pada masa yang sama berpegang teguh dengan pendekatan untuk memelihara kebebasan bersuara mahasiswa dan juga autonomi universiti,” katanya.

Beliau berkata pegawainya telah berhubung dengan Asheeq Ali Sethi Alivi, iaitu wakil kumpulan pelajar terbabit yang kemudiannya bersetuju menetapkan tarikh dan masa pertemuan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan laporan sebuah portal berita pada Isnin bertajuk “Dasar pintu terbuka Maszlee Malik hanya sekadar ‘retorik’ – Aktivis Pelajar”, yang antara lain memetik kenyataan Asheeq Ali bahawa dasar pintu terbuka yang sekian lama dilaungkan oleh menteri adalah tidak benar.

Sabtu lepas, Asheeq Ali, 23, bersama Siti Nurizzah Mohamad Tazali, 23, ditahan polis selepas enggan bersurai dari kawasan hadapan pintu masuk utama Parcel E, Putrajaya yang menempatkan beberapa kementerian termasuk Kementerian Pendidikan.

Asheeq Ali dan Nurizzah mengadakan tunjuk perasaan duduk bantah, bersama tidak lebih 10 pelajar dari beberapa universiti yang menggelar diri mereka Gabungan Pembebasan Akademik Institusi Pengajian Tinggi (IPT) sebagai protes terhadap pelantikan Maszlee selaku Presiden UIAM. — BERNAMA