SIBU: Pasukan bomba dan penyelamat mengambil masa 80 minit untuk mengawal kebakaran yang melibatkan sebuah kilang kayu di Batu 3 1/2 Jalan Oya di sini awal pagi tadi.

Menurut Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelanat Negeri, Tiong Ling Hii, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 2.33 pagi dan mengatur gerak dua jentera bomba, dua ambulans EMRS dan satu prime mover water tanker dari Balai Sibu dan Sungai Merah, dengan kekuatan anggota seramai 23 orang.

“Setiba di lokasi, pasukan mendapati kilang itu telah musnah seratus-peratus.

“Pihak kita kemudian berusaha melakukan pemadaman biarpun kawasan tersebut tiada pili bomba manakala jalan utama masuk ke kilang kayu sejauh 1,000 kaki sempit, dan sukar dimasuki jentera.

Kata Ling Hii, pihaknya terpaksa melakukan pemadaman menggunakan sumber air dari parit berdekatan, melalui dua unit pam angkut pemadaman di sebelah kiri bangunan.

“Pada masa yang sama, kita lakukan ‘relay pumping’ dari water tanker ke jentera yang melibatkan jarak 800 kaki.

Kebakaran kata Ling Hii, terkawal pada jam 4.00 pagi dan kerja-kerja ‘overhaul’ kemudian dijalankan.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran masih disiasat. — Sarawakvoice