KUALA LUMPUR: Kerana merakam gambar bawah skirt seorang juruoptik, seorang pegawai khas Timbalan Menteri Dalam Negeri, Dato’ Azis Jamman dipecat semalam.

Azis mengumumkan perkara tersebut dalam media sosial semalam setelah menyedari laporan polis telah dibuat oleh mangsa, dan video cctv telah beredar di media sosial.

“Saya mengambil maklum berhubung salinan laporan polis dan rakaman video cctv yang tular dalam media sosial melibatkan tindakan dan perilaku seorang individu yang bersama-sama saya semasa pemeriksaan mata dijalankan.

“Saya memandang serius tindakan individu tersebut yang membuat rakaman sedemikian secara sembunyi dan senyap-senyap tanpa saya sedari ketika pemeriksaan mata tersebut dijalankan.

Katanya, tindakan dan perbuatan sedemikian adalah terkutuk dan keji.

“Justeru saya mengambil keputusan untuk bertindak tegas terhadap pegawai yang membuat rakaman itu.

“Selepas membuat pertimbangan, keputusan untuk memecat pegawai tersebut dibuat serta-merta kerana tindakan tersebut yang menjejaskan imej dan kredibiliti saya selaku Timbalan Menteri Dalam Negeri dan pejabat Timbalan Menteri.

Kata Azis, beliau memohon maaf atas tindakan pegawai tersebut dan ia tidak ada kena mengena dengan pegawai-pegawai lain dalam pejabat Timbalan Menteri yang sedang bertugas dengannya,” katanya lagi.

Kejadian dikatakan berlaku di Solaris Dutamas di sini, pada Sabtu lalu. –Sarawakvoice