Tuesday, September 27, 2022

Perkhidmatan pascabayar kekal dikenakan cukai enam peratus – Lim

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Cukai perkhidmatan sebanyak enam peratus kekal dikenakan ke atas pengguna telekomunikasi pascabayar seperti yang dilaksanakan semasa Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) hanya termaktub kepada warganegara yang menggunakan kad prabayar sahaja.

“Kad prabayar selalunya digunakan golongan pendapatan rendah dan pengecualian ini diberikan untuk membantu golongan tersebut,” katanya pada sidang media sempena majlis taklimat ‘SST bersama Menteri Kewangan’, di sini, hari semalam.

Semalam, Lim mengarahkan syarikat pembekal perkhidmatan telekomunikasi kad prabayar supaya mengecualikan cukai perkhidmatan kepada pelanggan warganegara Malaysia.

Katanya, pengecualian itu berdasarkan kepada Seksyen 34(3)(a) Akta Cukai Perkhidmatan 2018 dan berkuat kuasa mulai 6 Sept 2018.

Melalui pengecualian itu, pelanggan akan mendapat nilai kredit penuh apabila membuat tambah nilai dan tidak lagi dikenakan cukai perkhidmatan.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan bersedia untuk membuat pindaan ke atas nilai cukai yang dikenakan seandainya ia memberi kesulitan kepada peniaga.

“Saya selalu tegaskan bahawa sungguhpun pihak kerajaan hendak tambahkan hasil tapi kesejahteraan ekonomi rakyat adalah lebih penting.

“Itulah sebabnya kita (akan) membuat pindaan yang sewajarnya sekiranya peniaga ada masalah tetapi pada masa yang sama kita harap peniaga juga bolehlah mengambil inisiatif memastikan mereka dapat mematuhi undang-undang yang ditetapkan supaya kita bersama-sama menjalankan tanggungjawab masing-masing,” kata Lim. –BERANAMA

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru