MIRI: Statistik Jabatan Kesihatan Sarawak menunjukkan kes penyakit kelamin berjangkit (STI), HIV dan AIDS meningkat drastik pada 2017 berbanding 2016 di seluruh Sarawak.

Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Rosey Yunus berkata kerajaan Sarawak memandang serius isu ini yang melibatkan kesejahteraan rakyat.

Dalam kenyataannya, beliau berkata Miri turut menunjukkan trend meningkat bagi kes penyakit tersebut.

Unjuran statistik menunjukkan penyakit kelamin Gonorea di Miri meningkat 132 kes pada 2017 berbanding 2016.

Sementara, statistik juga menunjukkan penyakit sifilis turut naik kepada 54 kes pada 2017 berbanding 26 kes pada 2016.

Manakala, kes HIV dan AIDS turut menunjukkan peningkatan iaitu 78 kes pada 2017 berbanding 49 kes 2016.

Bagi AIDS pula berlaku meningkat 38 kes pada 2017 berbanding 24 kes 2016.

Bercakap pada Majlis Penutupan Dialog Input Komuniti Terhadap Isu Sosial Penyakit Kelamin, HIV dan AIDS anjuran Majlis Pembangunan Sosial kementerian beliau dengan kerjasama Pejabat Residen Miri, Rosey yang juga ADUN Bekenu menyifatkan dialog tersebut sebagai pendekatan bagi mendapatkan input, selain menerima maklum balas komuniti.

Menurut Rosey, program lain yang turut dijalankan antaranya ialah Program Kesedaran dan Advokasi Pendidikan Sosial (KAPS) di beberapa sekolah menengah di negeri ini, termasuk di tiga sekolah menengah di Miri. –Sarawakvoice