Saturday, August 20, 2022

Dr Maszlee jamin untuk terus selenggara dan baik pulih sekolah daif di Sarawak

Secara Rawak

KUCHING: Tiada kompromi. Kementerian Pendidikan akan melakukan penyelenggaraan dan membaik pulih sekolah-sekolah daif di Sarawak dalam tempoh lima tahun.

Menterinya Dr Maszlee Malik berkata demikian selepas melawat tiga sekolah daif di Simunjan, Sarawak dalam lawatan kerja selama dua hari ke negeri itu.

“Lawatan ini bertujuan melihat keadaan beberapa buah sekolah di kawasan Samarahan dan Simunjan.”

Antara yang dilawati ialah Sekolah Kebangsaan Terasi, SK Abang Man dan Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Sadong.

Sebelum ini, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak mengumumkan senarai 1,020 sekolah daif di negeri itu, dengan 451 daripadanya tersangat daif.

Susulan pengumuman itu, Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengumumkan penawaran peruntukan RM1 bilion sebagai pinjaman kepada Kerajaan Persekutuan untuk baik pulih segera sekolah-sekolah ini.

Untuk rekod, pendidikan merupakan bidang di bawah kuasa Kerajaan Persekutuan.

Turut serta dalam lawatan tersebut Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Dr Gazali Abas;Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran , Datuk Sulaiman Wak dan Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak Abang Mat Ali Masagus.

Esok, Dr Maszlee akan membuat kunjungan hormat kepada Abang Johari selain bertemu kakitangan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak dan sesi ramah mesra dengan wakil pentadbiran institusi pengajian tinggi Sarawak. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru