Monday, August 15, 2022

LRT tangguh, tumpuan kepada pembangunan luar bandar, ulangi Abang Jo

Secara Rawak

KUCHING: Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg hari ini menegaskan bahawa projek Transit Aliran Ringan (LRT) yang dirancang di Sarawak tidak dibatalkan.

Sebaliknya, ditangguhkan untuk membolehkan tumpuan diberikan kepada aspek pembangun luar bandar di negeri ini.

“Kita mahu memberi keutamaan kepada pembangunan kemudahan asas di luar bandar.

“Projek itu sebaliknya akan diteruskan jika kita mempunyai kemampuan kewangan atau selepas kemudahan asas luar bandar siap kelak,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini hari ini.

Pada sidang media tersebut, Abang Johari Openg yang juga Presiden PBB dan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) menjelaskan, keutamaan kepada kawasan luar bandar adalah selari dengan pelan induk yang dirancang kerajaan.

“Dalam tempoh dua tahun ini, setiap wakil rakyat GPS iaitu ahli parlimen dan ahli Dewan Undangan Negeri telah diberikan peruntukan berjumlah RM5 juta setahun untuk melaksana projek kecil di kawasan masing-masing.

“Justeru ia harus dimanfaatkan untuk pembangunan di kawasan masing-masing,” tegasnya.

Mesyuarat lebih tiga jam bermula dari jam 10 pagi itu membincangkan agenda pembangunan luar bandar selain pindaan terhadap Rang Undang-undang Kanun Tanah Pindaan 2018 yang diluluskan pada mesyuarat DUN Julai lalu.

Turut dibincangkan ialah Ordinan Perlombongan Minyak 1958 berkaitan kuasa Kerajaan Negeri terhadap lesen minyak dan gas untuk pemain industri yang beroperasi di Sarawak. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru