Saturday, August 20, 2022

Urusan parti Bersatu di Sarawak perlu melalui penyelaras, atau dianggap tidak sah – Sharif Busrah

Secara Rawak

KUCHING: Tiada lagi urusan atau sidang media mengenai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dibenarkan di Sarawak tanpa kebenaran dan melalui penyelaras yang telah dilantik oleh pimpinan Bersatu pusat, kata penyelarasnya di Sarawak, Sharif Busrah.

Dalam satu kenyataan lewat malam tadi, beliau menegaskan bahawa sidang media yang akan diadakan oleh kelompok yang tidak diiktiraf  adalah tidak dibenarkan dan pihak media tidak perlu melayan permintaan mereka.

“Kami difahamkan, ada kumpulan yang tidak bertanggungjawab, yang menjalankan urusan, termasuk sidang media tanpa pengetahuan serta kebenaran pimpinan tertinggi pusat.

“Justeru itu, kesemua jawatankuasa yang telah dibentuk oleh pihak-pihak tersebut sebelum ini adalah tidak sah dan terbatal.

“Ia tidak diterima pakai oleh pimpinan tertinggi pusat,” katanya lagi.

Pada mesyuarat pimpinan tertinggi pusat yang lepas di Kuala Lumpur, Sharif telah dilantik sebagai penyelaras Bersatu bagi Zon Sarawak.

“Segala yang berkaitan dengan Bersatu di Sarawak harus melalui pihak kami, selaku pihak yang ditauliahkan.

“Untuk itu, ingin saya jelaskan bahawa mesyuarat dan sidang media yang dianjurkan kumpulan-kumpulan lain sebelum ini adalah di luar pengetahuan dan kebenaran pimpinan tertinggi pusat.

Beliau merujuk sidang media yang sebelum ini dikendalikan oleh Affendi Jeman, selaku Ketua Cawangan Petra Jaya.

“Beliau tidak lagi dibenarkan melaksanakan tugas-tugas Bersatu di Sarawak dan ia perlu dihentikan kerana telah mengelirukan masyarakat selain mencemar nama baik parti,” tambahnya lagi. — Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru