LAWAS: Menteri Kerja Raya Baru Bian berkata kerajaan akan membina jalan alternatif yang dicadangkan dari  Miri ke Limbang melalui Long Lama, Marudi dan Bario tanpa melewati Brunei.

Baru yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Ba Kelalan dan Ahli Parlimen Selangau berkata, perkara itu dipersetujui Perdana Menteri   Tun Dr Mahathir Mohamad pada sesi taklimat dengan Kementerian Kerja Raya baru-baru ini.

“Laluan alternatif itu akan dibina melalui Long Lama, Marudi, Bario dan terus ke Limbang dan Lawas tappa perlu melewati Brunei,” kata beliau seperti dipetik The Borneo Post hari ini.

Jelasnya, pembinaan jalan raya terbabit akan menyelesaikan masalah seperti penggunaan pasport, masalah menggangkut barang makanan seperti beras dan barangan lain oleh penduduk di Limbang, Lawas dan Miri melalui Brunei.

Baru berkata demikian  apabila melancarkan projek ‘Lawas My Home’ sempena Karnival Belia Lun Bawang di sini pada Jumaat. — Sarawakvoice