Sarawak perlu perbanyak acara berskala besar untuk lonjakkan industri pelancongan — Abang Johari

0
8

KUCHING: Penganjuran pelbagai acara berskala besar antara pendekatan yang mampu meningkatkan aktiviti pelancongan dan meningkatkan jumlah pelancong di Sarawak, kata
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Menurutnya, Sarawak sentiasa berusaha mempromosikan dirinya sebagai destinasi pelancongan dan daya tarikannya bukan sahaja bersifat santai bahkan melalui acara persidangan perniagaan.

“Secara tidak langsung, kita akan menerima kehadiran pelancong asing sebagai delegasi melalui acara yang diadakan di negeri ini.

“Bahkan (penganjuran) acara perniagaan merupakan salah satu komponen yang menjadi tumpuan utama untuk memperkenalkan Sarawak di samping acara rekreasi.

Katanya, adalah penting untuk Sarawak untuk sentiasa bergerak ke hadapan, termasuk meningkatkan fasiliti pelancongan di negeri ini,” katanya pada sidang media Anugerah TriBE Anak Sarawak Ke-9 di sini semalam.

Mengulas lanjut, Kerajaan Negeri katanya, telah banyak melabur untuk memperkasa sektor pelancongan negeri.

“Untuk merealisasikan hasrat itu, proses penambahbaikan kemudahan sedia ada perlu dilaksanakan.

“Ini adalah salah satu pendekatan yang perlu diambil oleh Sarawak untuk memantapkan industri pelancongan di Sarawak,” katanya.

Beliau turut menyentuh soal kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan mengenai industri pelancongan.

“Walaupun kita bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan, tetapi kita tidak dapat bergantung sepenuhnya kepada mereka.

“Kita perlu ada pelan sendiri untuk mempromosikan Sarawak.

“Berdasarkan pengalaman saya selama dua dekad dalam portfolio pelancongan, promosi secara total yang dilakukan oleh Tourism Malaysia kadang-kadang tidak memperlihat Sarawak, kerana kedudukan geografinya.

“Kita (Sarawak) berada di pinggir kerana bukan terletak sama dengan Semenanjung, sebab itu kita harus mempromosikan diri sendiri,” jelasnya. — Sarawakvoice