KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam mesyuarat Strategi Penghapusan Rabies semalam memutuskan untuk memperhebat penguatkuasaan dan melaksanakan perintah pengurungan terhadap semua anjing di negeri ini, terutama anjing peliharaan dan berlesen.

Mesyuarat tersebut juga memutuskan untuk mewajibkan semua anjing di Sarawak menghadiri suntikan antirabies bagi mengekang penularan wabak tersebut.

Menurut kenyataan yang diedar kepada media lewat semalam, jawatankuasa tersebut kini menguatkuasakan sepenuhnya Seksyen 37(2) dan (3) Ordinan Kesihatan Awam
Veterinar 1999; justeru menjadi kesalahan untuk membiarkan anjing lepas bebas dan membawa anjing keluar dari kawasan wabak Rabies tanpa kebenaran bertulis daripada pihak berkuasa veterinar negeri.

“Denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga bulan atau kedua-duanya akan dikenakan jika sabit kesalahan.

Jawatankuasa itu menambah, pemilik anjing hendaklah memastikan anjing mereka disuntik
vaksin anti-Rabies di kawasan wabak.

“Kegagalan berbuat demikian juga boleh disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 40,
Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999, dengan denda tidak melebihi RM 2,500 dan anjing yang ditangkap tanpa bukti pemvaksinan anti-Rabies boleh ditahan dan dimusnahkan.

Menurut kenyataan itu lagi, Majlis Bandaraya Kuching Selatan dan Jabatan Perkhdimatan Veterinar Sarawak akan menjalankan operasi bersepadu penangkapan dan penghapusan anjing yang berkeliaran termasuk anjing berkolar yang berlesen dan tidak berlesen.

“Tumpuan operasi adalah di Tabuan Jaya, Tabuan Tranquility, Stutong, BDC,
Tabuan Heights, Stampin dan Hakka Avenue dan ia akan diadakan mulai 1 hingga 30
September.

Kata jawatankuasa itu lagi, pemvaksinan secara besar-besaran untuk anjing akan
dilakukan di Dewan Masyarakat MBKS pada hari ini, bermula jam 10.00 pagi hingga 2.00 petang.

“Kaunter pendaftaran lesen anjing oleh pihak berkuasa tempatan juga akan disediakan.

Operasi penghapusan wabak rabies ini juga kata kenyataan tersebut, akan diperketat
lagi dengan bantuan daripada Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Pasukan Gerakan Am Sarawak (PGA) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Ini untuk mengekang pergerakan anjing liar di kawasan wabak dan memastikan ia dapat dikawal dengan lebih berkesan.

Wabak rabies di Sarawak kini mengorbankan 13 mangsa, daripada 14 yang dijangkiti.

Pada masa yang sama, 36 kawasan di Sarawak telah diisytihar kawasan wabak, dengan lokasi terbaharu ada di Pantu, Sri Aman dan Simpang Layar, Betong. — Sarawakvoice