Friday, October 7, 2022

Rakyat Sarawak tak mahu pembangunan: Carilah alasan lain

Secara Rawak

Ada batasnya dalam politik. Jangan beri alasan tidak masuk akal hanya untuk menghalalkan tindakan dan keputusan. Kalaupun enggan melaksanakan projek demi rakyat, tidak usahlah beri alasan rakyat, terutamanya di luar bandar menolak projek pembangunan.

Kalaulah betul kenyataan seorang menteri Pakatan Harapan bahawa ada rakyat di luar bandar di Sarawak menolak projek jambatan, kenyataan itu tidak harus diterima bulat-bulat.

Ini bukan zaman 40-an atau abad ke-19. Zaman ini orang bercakap tentang teknologi, pembangunan dan ekonomi digital.

Tidak masuk akal untuk mengatakan bahawa penduduk luar bandar di Sarawak seperti didakwa Rina, menolak apa pun bentuk pembangunan. Apatah lagi jika projek berkenaan ternyata membawa manfaat besar kepada mereka.

Amatlah mengejutkan dan mengecewakan untuk seorang menteri mengeluarkan kenyataan sedemikian.

Saya tidak fikir penduduk yang waras menolak projek jambatan yang memudahkan mereka bergerak dari satu kawasan ke satu kawasan lain.

Saya percaya rakyat luar bandar amat menghargai sebarang projek pembangunan.

Misalnya projek jambatan di Long Lama berharga RM70 juta yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri di bawah GPS amat menguntungkan rakyat.

Rina mendakwa dalam sayu kunjungannya ke Sarawak berdasarkan maklum balas diterimanya, penduduk di kawasan berkenaan memberitahu bahawa mereka tidak memerlukan kemudahan prasarana berkenaan.

Penduduk di mana itu Rina? Betulkah mereka menolak sesuatu yang berfaedah untuk mereka?

Rina, yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa, dekat ibu kota Kuala Lumpur, dipetik berkata, susulan maklum balas itu, maka kementeriannya perlu mengkaji semula projek di bawah kementerian dan agensinya.

Persoalannya, adakah semua itu sekadar alasan untuk tidak melaksanakan projek di Sarawak?

Rina perlu memberi alasan lain, dan bukannya alasan yang bagai menghina dan memperbodoh rakyat Sarawak.

Saya tidak fikir rakyat Sarawak menolak sebarang bentuk pembangunan.

Mereka malah amat mendambakan pembangunan dan kemajuan di kawasan mereka.

Rina perlu ingat bahawa Sarawak telah lama diabaikan oleh kerajaan persekutuan, termasuk pada zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad dahulu.

Maka, ini merupakan masa bagi Dr Mahathir untuk memperbetulkan kesilapannya semasa pemerintahan 22 tahun dahulu.

Rina, carilah alasan lain kalaupun kerajaan Pakatan Harapan enggan melaksanakan projek pembangunan di Sarawak.

Jangan katakan rakyat menolak projek pembangunan itu. Alasan itu amat lemah dan naif. — Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru