Perarakan julung Aidiladha Kampung Patingan dengan sepanduk neon disambut meriah

0
7

KUCHING: Unik dan meriah. Itu yang dapat digambarkan dalam sambutan Aidiladha di Kampung Patingan malam tadi.

Ini kerana buat julung kalinya, sambutan itu diraikan dengan acara bertakbir, bertasbih dan bertahmid secara perarakan.

Dianjurkan oleh Masjid Darulhana Patingan, program ini melibatkan penduduk di kampung tersebut sambil mengarah sepanduk neon.

Pengerusi program, Abdul Malik Mustapha berkata, pada mulanya program ini hanya melibatkan kariah Masjid Darulhana dan beberapa individu.

“Tetapi apabila telah dihebahkan kepada penduduk kampung, mereka memberikan respon yang positif dan sambutan yang diterima juga amat menggalakkan.

“Perarakan sejauh 2.3 kilometer ini bertujuan untuk mendedahkan kepada orang ramai akan kebesaran Hari Raya Aidiladha berbanding Hari Raya Aidilftri,”ujarnya.

Jelasnya lagi, perarakan ini juga dapat mengeratkan silaturahim sesama penduduk di kampung ini.

“Selain itu, kita juga akan mengadakan acara korban pada hari kedua perayaan dengan menyembelih daging korban serta mengagihkannya kepada seluruh warga kampung di sekitarnya.

“Justeru itu, saya berharap acara sebegini dapat diteruskan pada masa-masa akan datang, sekali gus dijadikan contoh dan ikutan kepada surau dan masjid-masjid lain di Kuching.

Lebih 300 penduduk menyertai perarakan ini.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Amanah Kaum Muslimin Kampung Patingan, Tan Sri Safri Awang Zaidell dan Pengerusi Masjid Darulhana Patingan, Zamhari Hashim. — Sarawakvoice