Lima minit kediaman jadi abu di Kampung No 5

0
5

KUCHING: Hanya lima minit semuanya musnah sekelip mata.

Demikian nasib Saodah Asma, 56 tahun yang tinggal sehelai sepinggang bersama-sama suami dan tiga anaknya selepas satu kebakaran menukar kediamannya di Kampung Nombor 5, Jalan Datuk Ajibah Abol menjadi abu sekitar jam 2 petang tadi.

Tindakan salah seorang anaknya mengejutkannya ketika berbaring menyelamatkannya daripada menjadi mangsa.

“Ketika itu saya sedang berbaring di dalam bilik.

“Anak saya memanggil mengatakan ada asap keluar dari belakang peti sejuk.

“Saya terus bangun dan bersama-sama tiga anak menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui di lokasi.

Malangnya tiada apa yang diselamatkan dalam kejadian itu.

Kediaman yang dihuni sembilan sekeluarga itu ranap seratus peratus.

Sementara itu, Komander Operasi, Patrick Mawong berkata, pihaknya sedang menyiasat punca sebenar kebakaran.

“Setakat ini kes itu masih dalam siasatan.

“Kita mahu mengenal pasti sama ada ia berpunca dari dapur ataupun elektrik atau bahan bahan lain,” katanya.

Turut hadir di lokasi kebakaran Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang juga ADUN Satok. –Sarawakvoice