Sunday, September 25, 2022

UMNO: Majlis Penasihat Kerajaan harus dibubarkan

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Demi kebaikan, Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) harus dibubarkan dengan anggotanya tidak harus terlibat dalam urusan kerajaan dan biarlah sistem yang sedia ada berfungsi mengikut peraturan dan perlembagaannya.

Menurut Setiausaha Agung UMNO Malaysia, Tan Sri Annuar Musa CEP ditubuhkan untuk menasihati kerajaan pada awal pembentukannya, terutama sebelum Kabinet terbentuk sepenuhnya dan sebelum sidang pertama Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

“Kita mengucapkan terima kasih kepada CEP, terdiri daripada lima tokoh rapat dengan Perdana Menteri (PM), yang telah pun menamatkan tugasnya dalam tempoh ditetapkan dan akan menyerahkan laporannya kepada PM, minggu depan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini

“Sekarang segala- galanya sudah terbentuk, dan PM mempunyai anggota Kabinet yang cukup hebat, terdiri daripada pemimpin terkanan lima parti yang sebahagiannya telah berjuang begitu lama,” katanya.

Malah, kata Ahli parlimen Ketereh itu, kalangan Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) ada yang lebih lama daripada anggota CEP sendiri.

“Atas dasar prinsip kebertanggungjawapan bersama Kabinet, kita merasakan tidak wajar lagi untuk CEP wujud, dan Kabinet perlulah berfungsi sewajarnya,” katanya lagi.

Tegas beliau, CEP tidak ada legitimasi undang- undang atau perlembagaan dan ia juga tidak merupakan sebahagian daripada tiga cabang legislatif, eksekutif dan kehakiman.

“Kewujudannya secara berterusan boleh membongkah sistem demokrasi parlimen sedia ada. Ada yang berpendapat, tugas ini sukarela dan tanpa kos kepada kerajaan. Ini bukan soal kos tapi soal kewajaran dan soal kuasa,” katanya.

“Apa lagi hampir kesemua anggota terbabit mempunyai kepentingan sangat besar dengan kerajaan dan ‘conflict of interest’ ternyata wujud.

CEP juga mencabar wibawa anggota Kabinet. Bukan sahaja seolah-olah Kabinet tidak diyakini tetapi juga dilihat tidak konsisten,” katanya.

“Ini kerana ada menteri Kabinet sebelum ini menuduh beberapa anggota CEP dengan pelbagai tuduhan berat, termasuk penyelewengan, tapi kini dilihat bukan saja tidak bertindak, sebaliknya tunduk kepada CEP. Kesemua ini boleh membawa kepada soal integrity,” katanya.

Ujarnya, apa lagi kiranya formula yang di perakukan gagal, sedangkan CEP tidak bertanggungjawab kepada sesiapa kecuali kepada seorang PM.

“Saya mencadangkan laporan CEP hendaklah didedahkan kepada awam dan perlu dilaporkan dalam sidang parlimen akan datang.

Ini bukan sahaja supaya ada ketelusan, tetapi juga mengelak tuduhan-tuduhan selepas ini,” katanya.

“Sudah kedengaran timbul syak wasangka atas peranan CEP yang diketahui umum sangat terlibat dgn percaturan politik aras tinggi. Ini bakal memburukkan situasi dan mewujudkan Kabinet di belakang Kabinet,” katanya lagi.

Sementara itu, Tun Dr Mahathir Mohamad dipetik berkata di Beijing, Majlis Penasihat Kerajaan (MPN) tidak akan dibubarkan kerana beliau masih memerlukan nasihat majlis berkenaan.
Perdana Menteri berkata, beliau juga belum menamatkan perkhidmatan ahli majlis berkenaan.

“Saya tidak pernah kata hanya 100 hari. Saya masih perlukan mereka,” katanya pada sidang media pada akhir lawatan lima harinya ke China. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru