Friday, December 3, 2021

Tujuh titik panas di Sarawak, NREB kini bertindak tegas terhadap pembakaran terbuka haram — Peter Sawal

Secara Rawak

KUCHING: Tujuh titik panas telah dikesan di seluruh Sarawak sepanjang tempoh 24 jam lalu, kata Kontroller Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB), Peter Sawal.

Menurutnya, titik panas itu berserta dengan 121 titik panas di Kalimantan yang menyumbang kepada pencemaran teruk jerebu ke negeri ini, apatah lagi dengan
keadaan kering dan panas luar biasa, disusuli tiupan angin dari Kalimantan, yang kini jerebunya berada dalam keadaan tidak sihat.

“Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) untuk bandar seperti Kuching, Samarahan, Serian, Mukah, Bintulu, Sibu, adalah di paras sederhana di bawah 100 … bakinya di pedalaman dan juga di bahagian utara Limbang, mereka masih menikmati cuaca yang baik,” katanya ketika ditemui pada sidang media Persidangan Kualiti Udara Bersih ke-10 di Pusat Konvensyen Borneo di sini hari ini.

Menurutnya, berdasarkan maklumat yang diperoleh, pihaknya telah mengesan berlakunya pembakaran terbuka di Sarawak, antaranya di Sibu, Mukah, Betong dan Sri Aman.

Memandangkan tiada permit pembakaran terbuka dikeluarkan sejak Julai lalu, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap peladang-peladang yang melakukan pembakaran terbuka ini.

Bacaan IPU di Sarawak sehingga jam 3 petang tadi menunjukkan Mukah tercemar teruk dengan bacaan 84, diikuti Sibu 75, Bintulu 71 dan Kuching 58 .

Malah jarak penglihatan di Mukah dikatakan merosot sehingga 500 meter di sesetengah tempat.

Pengarah Bomba dan Penyelamat Sarawak, Nor Hisham Mohamad ketika dihubungi memberitahu, pihaknya telah menerima 95 panggilan kecemasan berhubung kebakaran belukar di seluruh negeri sejak 1 Ogos lalu.

Dalam tempoh terdekat ini, berlaku juga kebakaran tanah gambut yang mengambil masa yang lama untuk padam iaitu di Sungai Kut di Dalat, Bintangor di Sarikei dan Gedong di Simunjan.

Persidangan Kualiti Udara Bersih ke-10 akan diadakan pada 14 hingga 16 November depan dan dijangka disertai seramai 600 hingga 700 peserta.

Bertemakan “Tindakan Serantau, Impak Global”, persidangan ini akan mengadakan pelbagai sesi bagi mengupas isu Kualiti Udara dan Perubahan Iklim, Tenaga Bersih dan Kualiti Udara Lebih Baik dan Penyelesaian Bandar Untuk Udara Bersih. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru