Friday, August 12, 2022

Tak perlu raikan 31 Ogos: Apa pendirian Chong sekarang?

Secara Rawak

KUCHING: Apakah agaknya pendirian Pengerusi Pakatan Harapan Sarawak Chong Chien Jen sekarang mengenai tarikh 31 Ogos?

Perlukah Sarawak meraikannya sebagai Hari Kebangsaan?

Atau beliau bersetuju dengan pendirian Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Dr James Jemut Masing supaya Sarawak tidak perlu meraikannya.

“Tarikh 31 Ogos tidak mempunyai kaitan dengan kita. (Tarikh) itu hanya Hari Kemerdekaan Semenanjung,” James dipetik sebagai berkata oleh media.

Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) itu berkata:

“Untuk meraikan 31 Ogos tidak perlu. Namun, sebagai sebuah negeri dalam Malaysia, kita boleh menghantar delegasi untuk meraikan sambutan itu bersama orang Malaya,” tambahnya.

Chong yang kini timbalan menteri dalam kerajaan persekutuan, pada 2016 dilaporkan secara meluas oleh media tempatan berkata, kerajaan Sarawak sepatutnya menghentikan perayaan itu kerana ia tidak kepentingan sejarah kepada negeri ini.

Lagipun, Chong turut dipetik berkata, kerajaan Sarawak perlu menghentikan berbelanja wang hasil cukai daripada rakyat dengan berhenti meraikan Hari Kebangsaan.

Sejak 2015, kerajaan Sarawak meraikan Hari Sarawak pada 22 Julai.

“Justeru, tidak ada justifikasi untuk kerajaan negeri membuang wang daripada dana awam dengan terus meraikan 31 Ogos,” kata beliau dalam kenyataan itu.

Ujarnya, kerajaan Sarawak diarahkan oleh kerajaan persekutuan di bawah Barisan Nasional sehingga berbelanja berjuta-juta ringgit untuk perayaan tersebut.

“Wang tersebut sepatutnya lebih baik dibelanjakan untuk golongan miskin di kawasan luar bandar di Sarawak,” katanya.

Persoalannya, adakah Chong kini berani mencadangkan kepada kerajaan Pakatan Harapan di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad supaya Sarawak tidak perlu meraikan 31 Ogos kerana itu membazir duit rakyat. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru