SIBU: Perintah reman suspek kes bunuh petugas Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Jalan Tiong Hua di sini dilanjutkan tujuh hari sehingga 22 Ogos ini.

Permohonan itu diluluskan Majistret Muhammad Faizal Che Saad di Mahkamah Sibu hari ini bagi memastikan siasatan kes itu dapat diteruskan.

Sebelum ini, suspek yang dikenali sebagai Phillip Uja, 42 tahun, direman sehingga 9 Ogos lalu bagi membantu siasatan.

Malah permohonan reman telah dibuat di Hospital Sibu berikutan suspek masih menerima rawatan selepas bertindak meminum racun di sebuah rumah panjang di Julau.

Suspek diburu polis selepas disyaki terlibat dengan pembunuhan Nurnia Azalea Priscillia Edwards, 26 tahun di sebuah bilik sewa di Jalan Tiong Hua, pada 2 Ogos lalu.

Phillip ditangkap pada 7 Ogos lalu selepas pihak polis berjaya menjejakinya di sebuah rumah panjang.

Malah suspek turut dikesan pergi ke sebuah kedai alat telekomunikasi bagi membuka kata laluan pada telefon bimbit yang dipercayai milik mangsa.

Pada 2 Ogos lalu, Nurnia ditemui mati dalam keadaan tangan dan kakinya diikat sekitar jam 3.45 petang.

Mayat mangsa ditemui oleh rakan sekerjanya selepas mereka pergi ke bilik sewanya setelah curiga apabila wanita itu tidak datang bekerja dan tidak dapat dihubungi. –Sarawakvoice