KAPIT: Operasi khas empat hari yang dilaksanakan bersama oleh Sarawak Forestry Corporation, Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Negeri Sarawak (UKPN) dan Pasukan Polis Marin Wilayah Lima (PPMW5) pada 7 hingga 8 Ogos lalu mencipta kejayaan, bukan sahaja menyelamatkan 794 kayu balak pelbagai spesies, malah merekodkan nilai rampasan menjangkau RM2.05 juta.

Pemangku Komander PPMW5, Superintendan Marzuki Ismail berkata, kejayaan itu diperoleh menerusi Op Landai dengan tumpuan khas kepada kawasan Kapit.

“Sebanyak empat kes berjaya direkodkan dalam operasi ini, dengan balak-balak yang diselamatkan adalah daripada spesies Kapur, Meranti, Tapang, Keruin, Ubah, dan Ngilas.

“Kejayaan ini adalah hasil kerjasama pasukan serbuan dalam melaksanakan siasatan dan tangkapan terhadap kesalahan di bawah Ordinan Perhutanan Sarawak 2015.

Sementara itu, jurucakap SFC berkata, kejayaan ini adalah hasil maklumat awam, disusuli oleh risikan lanjut oleh pasukan serbuan.

“Enam jentera berat yang kita rampas kerana dipercayai digunakan untuk aktiviti pembalakan haram ialah dua jengkaut dan empat traktor, selain dua lori.

“Balak-balak ini dipercaya dikeluarkan secara salah dari kawasan pembalakan berlesen berdekatan dan tidak mempunyai sebarang tanda dan cop kebenaran rasmi.

Kata jurucakap itu lagi, pihaknya gagal mengesan sebarang individu di sekitar kawasan tersebut ketika serbuan diadakan.

Kes telah dilaporkan kepada balai polis berdekatan selain diserahkan kepada Jabatan Hutan Sarawak untuk tindakan lanjut. –Sarawakvoice