Monday, August 15, 2022

GPS utuh, fitnah disebarkan pembangkang perbuatan terdesak — Fazruddin

Secara Rawak

KUCHING: Pergerakan Pemuda Gabungan Parti Sarawak (GPS) semalam mengecam sekeras-kerasnya tindakan pihak tertentu yang semakin ligat memfitnah parti itu sejak kebelakangan ini.

Timbalan Ketua Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang juga Ahli Majlis Tertinggi Penaja Pemuda GPS, Fazzrudin Abdul Rahman berkata, tindakan itu dilihat sebagai perbuatan terdesak pihak tertentu dalam usaha memburuk-burukkan GPS.

“Ia berusaha mengelirukan rakyat khususnya penyokong kuat parti-parti komponen dalam GPS yang tetap setia bersama-sama parti itu dan memberi sokongan padu kepada pucuk kepimpinannya, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

“Pemuda GPS melihat ada cubaan terdesak pihak tertentu untuk meraih sokongan rakyat Sarawak dengan menubuhkan parti baharu dan membuka cawangan parti yang berpangkalan di Semenanjung di negeri ini, sambil “mengapi-apikan” kononnya beberapa wakil rakyat GPS akan keluar parti dan menyertai mereka.

“Terkini, kecoh akan dakwaan kononnya Adun Meluan, Rolland Duat Jubin, sudah diterima menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan penyebaran fitnah di media sosial itu disertakan gambar borang palsu mengenai penerimaan keahlian.

Foto : SarawakCrocs.com

Perkara itu katanya, sudah dinafikan sendiri oleh Adun Meluan dan disiarkan media tempatan.

“Pemuda GPS mendapati tindakan memfitnah dan terdesak itu bukan sahaja dilakukan di media sosial malah secara terbuka kononnya atas nama “jurucakap” sebuah parti yang baharu membuka cawangan di Sarawak.

“Mereka mengeluarkan kenyataan kepada pihak media, dengan memfitnah kononnya beberapa ahli GPS akan keluar parti.

Fazruddin memetik BH Online pada 5 Ogos lalu yang melaporkan selepas enam Ahli Parlimen GPS didakwa mahu meninggalkan pakatan itu, tiga lagi Adun GPS dikhabarkan sudah bersedia untuk ‘angkat kaki’.

“BH Online memetik jurucakap Parti Pribumi Sarawak (PRIBUMI) sebagai berkata, tindakan sembilan wakil rakyat terbabit disebabkan hilangnya keyakinan terhadap kepemimpinan tertinggi GPS, khususnya PBB yang menguasai pentadbiran kerajaan negeri.

“Baru-baru ini juga tersebar di media sosial poster Kabinet bayangan Kerajaan Barisan Nasional (BN) dan PAS yang mengaitkan nama dua pemimpin kanan dalam GPS, iaitu Ketua Whip GPS merangkap Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Ahli Parlimen Santubong, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Kedua-dua pemimpin itu kemudiannya mengeluarkan kenyataan menafikan perkara itu.

Sehubungan itu kata Fazruddin, Pemuda GPS meminta rakyat Sarawak terutama ahli-ahli parti supaya tidak mudah terpengaruh dan terpedaya dengan fitnah demi fitnah yang cuba disebarkan pihak tidak bertanggungjawab ini.

“Kita menjangkakan lebih banyak fitnah akan terus mereka keluarkan.

“Semua wakil rakyat daripada empat parti komponen – Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Progresif Demokratik (PDP) masih utuh bersatu di bawah GPS dan menyokong sepenuhnya kepimpinan Abang Johari sebagai pemimpin tertinggi GPS dan Ketua Menteri Sarawak,” tegasnya lagi. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru