Friday, October 7, 2022

Bertemu Nisha Ayub tidak bermakna bersetuju perjuangan LGBT – Mujahid

Secara Rawak

PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa hari ini meminta masyarakat agar tidak merumuskan pertemuannya dengan wakil komuniti transgender Nisha Ayub semalam adalah isyarat beliau bersetuju dan mengiyakan perjuangan dan perbuatan golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual (LGBT).

Katanya, pertemuan di Kompleks Islam Malaysia di sini semalam adalah atas permintaan aktivis transgender itu dan beliau menerima kehadiran Nisha bagi menyelami serta memahami isu berkaitan transgender, khususnya peranan institusi agama dalam menangani permasalahan berkenaan.

“Pertemuan itu lebih kepada perbincangan bagaimana untuk mengatasi masalah diskriminasi terhadap golongan mak nyah serta bagaimana untuk mengatasi masalah yang dihadapi mereka termasuk penghayatan soal-soal agama dan beribadat secara khusus.

“Pada pertemuan semalam juga tiada langsung isu berkaitan hak sama rata melibatkan perkahwinan sama jantina dibangkitkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Mujahid berkata Nisha sendiri menegaskan dirinya bukan ikon komuniti LGBT sebaliknya hanya seorang aktivis yang memperjuangkan nasib golongan mak nyah yang sering disisihkan selain memberi galakan agar mereka meninggalkan ‘industri seks’.

Malah kata Mujahid, aktivis itu juga memaklumkan tidak kisah gambarnya yang dipaparkan pada satu pameran fotografi di Georgetown, Pulau Pinang diturunkan selain mengakui tidak dimaklumkan mengenai penggunaan gambar tersebut.

Mengulas lanjut, Mujahid berkata pihaknya tidak boleh mengamalkan sikap pilih kasih dalam menjalankan kerja-kerja dakwah seperti mana Islam tidak menggalakkan umatnya menyakiti manusia yang lain.

Beliau berkata perkara paling utama perlu dilakukan ialah menghapuskan budaya benci dan diskriminasi kepada komuniti tersebut terutamanya di tempat kerja serta di tempat-tempat awam.

Hak mereka sebagai rakyat Malaysia tidak boleh dinafikan, katanya. – BERNAMA

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru