PUTRAJAYA: Kontinjen Malaysia ke Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang yang bermula 18 Ogos hingga 2 Sept ini, menyasarkan untuk membawa pulang tujuh pingat emas.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata kontinjen negara yang turun dengan misi mencapai 10 tempat teratas secara keseluruhan, dilihat berpeluang meraih hingga 11 pingat emas.

“Sasaran adalah tujuh emas, tetapi jika bernasib baik, Insya-Allah boleh capai 11 emas,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara ke temasya itu di Dataran Perdana, Bangunan Putra Perdana di sini.

Antara acara yang disasarkan untuk meraih emas ialah berbasikal, karate, sepak takraw, pencak silat dan tenpin boling.

Terdahulu, beliau menyerahkan Jalur Gemilang kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang kemudian menyerahkannya kepada Ketua Kontinjen Datuk Seri Abdul Azim Mohamad Zabidi.

Abdul Azim kemudian menyerahkan Jalur Gemilang itu kepada pembawa bendera negara Syakilla Salni Jefry Krishnan.

Pada majlis sama, jaguh berbasikal trek negara Mohd Azizulhasni Awang turut menyarungkan pakaian rasmi kontinjen negara, iaitu jaket harimau kepada Perdana Menteri.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, anggota Jemaah Menteri, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria dan barisan atlet negara.

Malaysia akan diwakili 426 atlet dan 140 pegawai yang akan mengambil bahagian dalam 35 daripada 40 jenis sukan yang dipertandingkan pada temasya kedua terbesar di dunia selepas Sukan Olimpik itu.– BERNAMA

Foto: Twitter @syedsaddiq