KUCHING: Skuad Risda Kenyalang United bersedia memberikan cabaran sengit kepada pesaingnya dalam kempen Liga Kelab Sukan dan Rekreasi Jabatan Perangkaan Sarawak (KSRJPS) 2018, Ahad ini.

Keyakinan itu dilontarkan Pengurus Pasukannya, Noor Azan Mohd. Noor yang meletakkan sasaran sekurang-kurangnya berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir pada edisi kali ini.

“Misi awal pasukan kita adalah sekurang-kurangnya berjaya melangkah ke pusingan separuh akhir serta memberi saingan yang hebat kepada mana-mana pasukan dan saya yakin ia mampu dicapai oleh para pemain.

“Dengan persediaan rapi yang telah dilakukan oleh pasukan maka saya menyandarkan harapan besar kepada pemain yang telah terpilih bagi menyarung jersi skuad Risda Kenyalang United dalam kempen Liga KSRJPS 2018,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa melakukan penyerahan jersi pemain RISDA Kenyalang United bertempat di Pejabat RISDA Negeri Sarawak hari ini.

Beliau turut mengingatkan semua pemain yang terpilih agar sentiasa bersemangat selain memberi fokus sepenuhnya pada setiap perlawanan yang dilalui.

“Kerjasama berpasukan adalah penting dalam membentuk kekuatan yang boleh membawa kejayaan kepada pasukan dan kita tahu cabaran getir bakal menanti para pemain sepanjang kempen liga.

“Apa yang penting sekali, saya akan pastikan para pemain memberikan sepenuh komitmen kepada pasukan dan tidak mengambil mudah keupayaan lawan masing-masing,” ujar Noor Azan dengan menambah skuad RISDA Kenyalang United dikemudikan oleh Ketua Jurulatih, Azizan Saperi.

Sementara itu, Ketua Jurulatih, Azizan Saperi menyeru semua pemain RISDA Kenyalang United agar memberikan fokus seratus peratus dalam kempen Liga KSRJPS 2018 antara Jabatan- Agensi Kerajaan bermula Ahad ini.

“Saya menyeru semua pemain untuk menunjukkan komitmen dan semangat kesukanan yang tinggi untuk membantu skuad Risda Kenyalang United meraih kejayaan pada musim ini,” ujarnya.

Skuad Risda Kenyalang United akan memulakan kempen liga bertemu pasukan pilihan, UNIMAS, jam 4.30 petang Ahad ini di Padang Yayasan Sarawak. –Sarawakvoice