KUALA LUMPUR: Ringgit rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) semasa awal sesi dagangan hari ini berikutan permintaan lemah terhadap mata wang tempatan memandangkan pelabur mengambil pendekatan berhati-hati bagi aset berisiko.

Pada 9.05 pagi, unit tempatan berada pada 4.0770/0800 berbanding dolar AS daripada 4.0740/0770 ketika ditutup Khamis.

Ketua Strategi Mata Wang dan Penyelidikan Pasaran FXTM Global, Jameel Ahmad berkata kebimbangan terhadap perang perdagangan antara AS dan China masih wujud, sekiranya tidak meningkat lagi, yang akan menyebabkan minat risiko pelabur kekal terhad bagi beberapa tempoh.

Ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang utama lain.

Nota tempatan tinggi berbanding dolar Singapura kepada 2.9831/9855 daripada 2.9883/9914 selain meningkat berbanding euro kepada 4.7000/7042 daripada 4.7230/7277 semalam.

Ringgit juga naik berbanding pound Britain kepada 5.2304/2363 daripada 5.2498/2544 namun rendah berbanding yen kepada 3.6763/6800 daripada 3.6653/6687 pada Khamis.–BERNAMA