GEORGETOWN: Exco Kerja Raya, Utiiliti dan Tebatan Banjir ,Zairil Khir Johari juga menerangkan ejaan nama “Air Itam” di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang semalam.

Beliau yang berkata demikian sewaktu menggulungkan ucapan bagi portfolio nya .

Zairil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Bunga berkata, “Saya juga memerhati bahawa Yang Berhormat Air Itam telah membangkitkan isu berkenaan ejaan kawasan beliau, di mana ‘Air Itam’ mempunyai beberapa ejaan yang berlainan.”

“Sebagai pengerusi Jawatankuasa Negeri Nama Geografi Pulau Pinang yang turut dianggotai Yang Berhormat Komtar, Bagan Dalam dan Pulau Tikus, saya telah memulakan proses pembetulan nama-nama jalan, ” ujarnya.

Jelas Zairil, “Contohnya, saya telah meluluskan penamaan semula Lorong Kuching di Pulau Tikus yang telah dieja sebagai haiwan kucing. Sebenarnya, jalan itu mendapat namanya daripada ibukota Sarawak dan bukannya binatang. ”

Foto: Bernama

“Pada masa yang sama, Jalan Muntri juga akan ditukar menjadi Lebuh Muntri kerana nama asalnya adalah Muntri Street dan bukan Muntri Road,” tambahnya lagi.

Zairil berkata, “Masalah yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat ini sebenarnya berpunca daripada pertukaran ejaan yang dibuat ekoran pembakuan atau penyeragaman bahasa Melayu yang dimulakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1972.”

“Ejaan lama bagi “air” adalah “ayer”, sepertimana Jalan Ayer Rajah yang sudah ditukar nama menjadi Jalan Tunku Abdul Rahman. Ejaan “itam” pula adalah berdasarkan pertuturan bahasa basahan (colloquial speech) di mana ramai yang menyebut hitam sebagai “itam” ,” jelasnya lagi.

Ujar Zairil lagi, “Saya bersetuju dengan Yang Berhormat bahawa adalah afdal sekiranya ejaan nama kawasan itu diseragamkan. Justeru, setelah menyemak dengan PEGIS, didapati bahawa nama pekan atau bandar yang diwartakan di bawah Kanun Tanah Negara adalah “Ayer Itam”. Maksudnya, ejaan inilah yang akan dipaparkan dalam suratikatan geran tanah (land title deed).”

Katanya lagi, “Oleh itu, cadangan saya adalah untuk menggunakan ejaan “Ayer Itam” sebagai ejaan yang betul bagi semua nama jalan dan papan tanda. Justeru, saya menyarankan agar Yang Berhormat membuat rundingan awam dengan penduduk kawasan terlebih dahulu dan sekiranya mendapat persetujuan bolehlah mengemukakan cadangan kepada pejabat saya.” –Sarawakvoice