BAU: Dua wanita berhadapan hukuman gantung sampai mati, selepas sepasukan anggota polis menahan mereka kerana memiliki dadah di sebuah rumah di Kampung Segong di sini.

Ketua Polis Daerah Bau Deputi Superintendan Sabri Zainol berkata, tangkapan dilakukan selepas pasukan serbuan menemukan tiga paket dadah seberat 50.8 gram, yang dianggarkan bernilai RM10,000.

“Kita percaya ia dimiliki oleh suspek pertama, anak wanita berketurunan Bidayuh yang berusia 47 tahun, yang kini dinamakan sebagai suspek kedua.

“Turut ditahan kekasih suspek utama, berbangsa Cina dan berusia 20 tahun.

“Suspek utama yang tidak didedahkan identitinya itu masih diburu kerana menghilangkan diri,” katanya dalam sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Daerah Bau di sini.

Perjelas Sabri, serbuan dilakukan oleh pihaknya sekitar jam 10.45 malam Rabu, hasil intipan dan risikan.

“Suspek dipercayai merupakan pembekal utama dadah di daerah ini dan hasil rampasan ini adalah yang terbesar setakat ini di sini, pada tahun ini.

Polis katanya, turut menyita lapan harta milik suspek yang dianggarkan bernilai RM108,050.

“Ia melibatkan dua buah kereta jenis Toyota dan barangan kemas.

“Kedua-dua suspek wanita ini telah direman tujuh hari dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 39 B, Akta Dadah Berbahaya 1952. –Sarawakvoice