Tuesday, October 4, 2022

Bayaran balik tunggakan cukai input GST bermula tahun depan

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan Pakatan Harapan akan berusaha membuat bayaran balik tunggakan tuntutan cukai input bagi Cukai Barangdan Perkhidmatan (GST) bermula tahun depan.

Beliau mendedahkan terdapat sejumlah RM19.4 billion dalam tunggakan pembayaran bagi tuntutan cukai input GST sejak pelaksanaannya pada April 2015 sehingga 31 Mei lalu.

Katanya, rekod Jabatan Kastam Diraja Malaysia mengesahkan daripada jumlah tunggakan tersebut sebanyak RM9.2 billion atau 47 peratus adalah pada tahun ini; RM6.8 billion (35 peratus) pada 2017; RM2.8 billion (15 peratus) pada 2016 dan RM600 juta (3 peratus) pada 2015.

“Baki sedia ada dalam Tabung Bayaran Balik hanyalah sekitar RM1.49 bilion sahaja. Ini menandakan ada kekurangan kira-kira RM18 bilion,” katanya ketika membentangkan Rang Undang-undang Cukai Barang dan Perkhidmatan (Pemansuhan) 2018 bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat, Rabu.

Guan Eng berkata, kerajaan akan mengkaji pelbagai cara bagi memperoleh dana yang mencukupi untuk tujuan pembayaran tuntutan tersebut.

Beliau berkata, kelewatan pembayaran balik tuntutan itu menjejaskan suasana perniagaan dan memberi kesan negatif kepada daya saing negara.

“Saya amat terperanjat apabila diberitahu bahawa tunggakan ini berlaku akibat kegagalan kerajaan terdahulu memasukkan kutipan GST ke dalam akaun amanah yang dikhaskan untuk melunaskan tuntutan cukai GST,” katanya menambah kutipan tersebut sebaliknya dimasukkan terus dalam Kumpulan Wang Disatukan sebagai hasil.–BERNAMA

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru